NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mesyuarat khas PRK Gerik, Bugaya Jumaat ini



Oleh HAIKA KHAZI

24 NOV: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas Jumaat ini bagi membincangkan pelbagai isu penting berikutan kekosongan kerusi Parlimen Gerik dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.

Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, mesyuarat yang bakal diadakan bertempat di Ibu Pejabat SPR, Menara SPR, Putrajaya bermula pada jam 9.30 pagi.

“Mesyuarat yang bakal dipengeruskan sendiri oleh Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkenaan antara lain akan membincangkan tarikh-tarikh penting bagi kedua-dua pilihan raya kecil (PRK) berkenaan.

“Antaranya termasuklah tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih dan persiapan-persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan PRK terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Ikmalrudin berkata, SPR mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Ahli Parlimen Gerik, Hasbullah Osman atas kembalinya Allahyarham ke rahmahtullah pada 16 November 2020.

Beliau berkata SPR turut mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Manis Muka Mohd Darah atas kembalinya Allahyarhamah ke rahmahtullah pada 17 November lalu.

Sehubungan itu, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, pada 18 November lalu berhubung kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Gerik.

Beliau berkata selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, SPR akan mengadakan satu PRK bagi mengisi kekosongan kerusi terbabit.

Manakala, untuk kekosongan luar jangka kerusi DUN Bugaya, Sabah, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya, pada 23 November lalu.

“Satu PRK juga akan diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut berdasarkan kepada Artikel 21 (5) Perlembagaan Negeri Sabah,” jelasnya.

Sumber: http://www.pnbbcportal.com/2020/11/24/mesyuarat-khas-prk-gerik-bugaya-jumaat-ini/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo