Responsive Ad Slot

69 Tahun PAS: Memasuki Dasawarsa Ketujuh Memimpin Ummah Di Medan Siasah.

0

Oleh:Dr Riduan Mohamad Nor.

Hari yang indah ini merupakan ulangtahun PAS ke 69 tahun, saat ulama merasakan kelompok mereka wajib disatukan suara agar ummat Islam dibimbing dan ditarjih perjalanan dimedan siasah berpandukan al Quran dan as sunnah. PAS telah merentasi jalan juang yang panjang memasuki dekad ketujuh perjuangan semenjak ianya ditubuhkan di tanah leluhur ini. Gerakan Islam ini berada dekat dengan hamparan relung hati umat Islam yang sayangkan agamanya dan ingin melihat Islam tertegak dengan sempurna mungkin. Jamaah ini tidak akan mati terkejang nafas selagi mana bergerak di atas dasar, matlamat dan rujukannya. Dalam tempoh yang panjang ini, PAS dilambung dengan jutaan ujian, bersilih ganti dan bertindan -tindih, namun ianya masih merengkuh sokongan dan dokongan umat Islam.

Dimanakah rahsia kebugaran PAS sehingga mampu bertahan gagah mendepani segunung ujian yang datang, sedangkan puluhan parti dan gerakan politik lain telah ditalkinkan tanpa batu nisan? Rahsia kekuatan PAS adalah terletak di tangan ulama yang merencahi perjalanan panjang ini dengan batu tanda perjalanan yang benar. PAS tidak tersasar kerana pemanduannya memahami arah jalan, peraturan, permainan dan kemampuan membaca unjuran masa depan. PAS tanpa lelah memimpin ummah dengan keberkatan ulama, kecerdasan profesional dan kerja keras para aktivis parti di semua peringkat.

Gerakan Islam tertua di negara ini yang mewarisi kejerihan Hizbul Muslimin ini berdada dengan kezaliman penguasa dalam tempoh yang panjang , kini berpeluang menjadi rakan kongsi dalam pemerintahan negara . PAS terus memugar kekuatan, membina kekuatan organisasi, merengkuh dokongan ummat dengan berteraskan tarbiah dan dakwah. Penubuhan PAS bermula di Pulau Pinang, dengan pantas mewangi berkembang ke negeri Pantai Timur sehinggalah beberapa kali berkuasa di peringkat negeri. PAS dengan nuansa dan citra perjuangan Islamnya telah berjaya menarik para agamawan dan para santri untuk mendokong parti tersebut. Parti ini kini berada di Putrajaya dan pos strategik pemerintahan, menguasai beberapa buah kerajaan negeri di Semenanjung serta mempunyai ADUN di negeri Sabah.

Laungan dan pekikan takbir membesarkan Allah mengingatkan hati pendokong PAS untuk tabah mengharungi badai samudera yang menghempas, pemenjaraan, penistaan, intimidasi, pembantaian dan pengucilan yang menyelimuti anggota jamaah di sepanjang keberadaannya dalam pentas siasah dan dakwah ini. Penyokong dan pendokong PAS tidak boleh hanyut dalam arus kuasa, kesilapan semasa memerintah akan memberi kesan fatal dan berpanjangan. Program amal tarbawi dan gerakan tajnid ( kaderisasi dakwah) wajib menjadi teras penting yang memotori gerakan disemua peringkat.

Dalam sejarahnya PAS memusar arus magnetnya dari sekolah agama, madrasah dan pondok. Jajaran sekolah agama rakyat dalam dekad 1950-an dan 1960-an telah banyak tertumpu di negeri seperti Perak Utara, Kedah, Seberang Perai (Pulau Pinang), Kelantan dan Terengganu, maka tidak pelik jika negeri-negeri ini terpercik dengan pantas pengaruh PAS. Kini PAS adalah pilihan kepada kelompok kelas menengah muslim negara ini juga pilihan anak--anak muda berpendidikan.

Dengan berlakunya kebangkitan Islam di seluruh dunia dalam dekad 70-an dan 80-an, PAS tidak terkecuali mendapat simbahan pengaruh kebangkitan Islam sehingga berlaku transformasi kepimpinan yang dikenali sebagai kepimpinan ulama dalam parti tersebut. Era kepimpinan ulama telah menyaksikan keseriusan PAS dalam menangani pelbagai isu, memecah kepompong nasionalisme Melayu sebagai bertindak balas kepada dasar-dasar kerajaan yang tidak mesra syariah dan juga giat menubuhkan institusi pendidikan di bawah PAS sendiri, daripada pra sekolah sehinggalah kolej Universiti.

Selama hampir tujuh dekad ini juga telah menyaksikan PAS telah dipimpin oleh tokoh-tokoh pimpinan yang telah mencorakkan PAS dengan wajahnya yang tersendiri. Bermula dengan Ustaz Ahmad Fuad, berganti dengan Dr. Abbas Alias dan bersambung dengan cemerlang di bawah Dr. Burhanuddin al-Helmy yang bergandingan dengan tokoh 'ideologue' PAS, Dr. Zulkifli Muhammad. Era cemerlang ini pudar seketika dengan kembalinya Dr. Zulkifli ke rahmatullah dan Dr Burhanuddin diserkap di bawah ISA dengan tuduhan ingin menubuhkan kerajaan buangan. PAS dalam keadaan separuh terkejut akhirnya diwariskan kepimpinan kepada Datuk Asri. Era Datuk Asri dengan beberapa kontroversi akibat demokrasi terpimpin ala Asri dan juga kemasukan PAS dalam kerajaan campuran BN.

PAS di bawah kepimpinan ulama bermula dengan Haji Yusof Rawa, arus deras bawah dan olakan permukaan telah membawa pelbagai perubahan kepada PAS dalam dekad kemuncak kebangkitan Islam. Jamaah ini dipimpin oleh Ustaz Fadzil Noor dan melakukan beberapa tindakan strategik seperti gagasan APU dan PAS memetik buah manis dengan kejayaan menawan kembali Kelantan pada tahun 1990. Seterusnya menawan kembali Terengganu pada tahun 1999 dengan kehangatan gelombang Reformasi 1998 akibat penyingkiran Anwar Ibrahim. PAS pada tahun 2020 , bersama koalisi PN berjaya mara ke Putrajaya dan menjadi agen penyatuan Melayu Islam di tanah leluhur ini.

Kepimpinan ulama telah membuktikan gerakan Islam mampu mempersada perjuangan walau dihambat dengan sejuta ujian. PAS dipilih oleh rakyat kerana mereka melihat contoh yang hidup di Kelantan, 30 tahun pemerintahan PAS , bermula era Tuan Guru Nik Aziz , Kelantan sifar rasuah dan berjaya menterjemah aspirasi Islam serta membumikan syariah secara berhikmah. PAS juga menjadi pilihan kepada peserta kebangkitan Islam kerana wadah ini menawarkan kepada mereka ruang untuk pendidikan seumur hidup, kepimpinan ulama yang tidak jemu menabur bakti di ladang ilmu dan pencerahan.

Kini harakatul ummah ini dengan usia 69 tahun, tertegak dengan tiga sendi laras iaitu siasah, dakwah dan tarbiah terus dipacu dengan jaya oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang juga antara ilmuan tersohor dunia Islam. Jamaah Islam ini juga beroperasi dimedan massa dengan sinergi ulama, profesional dan aktivis, akan terus menjadi payung buat rakyat negara ini.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI )

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo