NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kenapa PAS Dan Umno Tidak Mengkaji Dap?


Mohd Fadli Ghani

Saya ingin mengajak bijak pandai, pemikir, profesional dan penyelidik di dalam PAS dan Umno untuk merenung sekejap. Ini kerana para pimpinan kedua-dua parti telah mengabaikannya. Iaitu kenapa kedua-dua parti Melayu ini tidak berminat mengkaji secara mendalam dan memahami DAP? Dalam kata lain, sepatutnya PAS dan Umno memberikan perhatian serius untuk mengkaji, mendalami dan memahami seluruh asal-usul, organisasi, dasar, hala tuju, matlamat, kepemimpinan dan pemikiran DAP.

Sepatutnya, pusat-pusat penyelidikan kedua-dua parti mempunyai 'School of DAP Studies,' bukan hanya mempunyai unit-unit berkaitan isu politik semasa dan pilihan raya sahaja. Inilah pendekatan yang paling baik jika kita ingin menangani DAP.

Kenapa saya katakan demikian? Mari saya jelaskan...

I. Barat dan orientalismenya
Barat adalah satu bangsa yang bangkit selepas abad ke-13. Mereka mendendami dan memusuhi Islam kerana membuka Andalus pada awal abad kelapan (711). Barat mengatur langkah untuk menjajah negeri Islam di sebelah Timur. Selain menjajah, mereka memulakan 'orientalisme' atau kajian ketimuran. Kemudian mereka menguasai keseluruhan aspek ketimuran, lalu mereka bukan sahaja dapat menguasai tanah, hasil bumi dan pengaruh politik, terapi mereka dapat mengawal pemikiran umat Islam di Timur. Baru dalam tahun 2003, Malaysia menubuhkan Institut Kajian Oksidental (IKON) di UKM untuk mengkaji kebaratan, iaitu lebih 100 tahun terkemudian daripada tertubuhnya School of African and Oriental Studies (SOAS) di University of London yang ditubuhkan pada 1916. Walhal, orientalisme itu bermula ratusan tahun lebih awal. Inilah kefahaman Barat dalam mengkaji musuh mereka, berbanding dengan kita.

II. Kajian-kajian hanya terhenti setakat bahayanya Parti Komunis Malaya (PKM)
Kajian-kajian akademik tentang DAP sangat sedikit dan begitu kabur sekali. Kawan-kawan penyelidik saya memberitahu bahawa pemimpin DAP akan menyembunyikan seluruh maklumat tentang mereka, jika ada sebarang kajian yang dibuat berkait dengan DAP. Sukar untuk mendapatkan kerjasama dalam penyelidikan tentang DAP. Mereka tidak akan membuka rahsia-rahsia pergerakan mereka, terutama penyamaran mereka di atas nama demokrasi, yang membawa agenda sosialisme. Hal ini memerlukan perhatian serius dan kesungguhan para penyelidik untuk memahami 'origin of DAP.'

Kajian-kajian yang dibuat sebelum ini telah terhenti setakat pergerakan, pemikiran dan keganasan komunis sahaja. Beberapa kajian oleh Cheah Boon Kheng, Aloysius Chin dan Ho Hui Ling hanya berlegar tentang PKM, dan kajian mereka tidak sampai kepada DAP. Kita mungkin biasa mendengar nama Dong Zong, Dong Jiao Zong, Suqui, DEMA dan UMANY. Tetapi kita tidak mempunyai data yang jelas tentang hubungan mereka dengan DAP atau kemungkinan mereka adalah metamorfosis DAP.

III. DAP mengkaji politik PAS dan Umno
Ketika PAS dan Umno tidak mempedulikan pergerakan DAP, mereka telah mengatur langkah yang lebih jauh apabila mula memberikan perhatian untuk mengkaji PAS dan Umno, sebagai langkah memahami kedua-dua parti ini sebelum mereka menguasainya. Dalam memahami PAS, Liew Chin Tong adalah pakarnya, khususnya tentang perjuangan negara Islam. Kajian beliau di Australia National University (ANU) pada 2004 bertajuk 'Articulating an Islamic State in Multiethnic Malaysia: The Case of PAS.' Setelah itu, Liew Chin Tong meneruskan kajian-kajiannya tentang PAS di Institute of South-East Asian Studies (ISEAS), Singapura.

Kedua, tentang Umno. Mereka telah mengkaji tentang pergolakan, persaingan dan perebutan jawatan dalam Umno pada 1980-an dan 1990-an. Pengkaji DAP, Taresa Kok Suh Sim telah membuat kajian bertajuk 'Perpuakan Umno Dalam Era Mahathir Mohamad' di Universiti Malaya pada 2001. Kedua-dua kajian ini adalah contoh bagaimana DAP tidak mengabaikan kajian tentang PAS dan Umno dalam pergerakan politik mereka. Ia tiada bezanya dengan orientalisme yang dibuat oleh Barat sebelum ini.

Hasilnya, mereka dapat memahami punca-punca pergolakan dalaman PAS di atas isu negara Islam, dan DAP dapat menguasai kelompok 'Islamis Demokrat' yang tidak bersetuju dengan negara Islam yang digagaskan oleh Majlis Syura Ulamak PAS. DAP juga dapat menguasai dengan baik serpihan Umno yang 'liberal Islamis' pimpinan Anwar Ibrahim. Hari ini, kedua-dua serpihan PAS dan Umno telah menjadi alat kepada pergerakan 'bertopeng' DAP.

Saya akan dedahkan lagi hal ini kemudian. 

IV. Kajian tentang bahaya dan ancaman komunis belum sampai di penghujung
Kajian-kajian tentang bahaya ancaman komunis telah menarik minat para pengkaji, termasuk di kalangan orang Cina sejak 1970-an. Faktornya, kerana adanya gerakan komunis untuk menguasai Malaysia pada dekad tersebut, termasuk mereka membunuh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim pada 7 Jun 1974. Siri-siri keganasan politik komunis ini berkaitan dengan rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969. Ia berlaku kesan penguasaan DAP dan orang Cina terhadap politik Bandar, dan mereka berharap akan menguasai politik Malaysia kemudiannya.

Selain keganasan yang komunis lakukan, mereka juga telah mempengaruhi politik Melayu dua aliran. Pertama, Umno telah diresapi oleh pengaruh mereka sehingga berlakunya penahanan ISA ke atas 'Tiga Abdul' pada 1976, iaitu zaman Hussein Onn. Kedua, komunis telah mengaktifkan sebuah 'parti Islam' bernama Parti Persaudaraan Islam Malaya (PAPERI) yang ditubuhkan pada 1965, untuk menarik sokongan orang Islam kerana PAS berada di dalam kerajaan ketika itu. Sedangkan DAP bergerak sejak 1966 untuk melanjutkan agenda PAP pimpinan Lee Kuan Yew dari Singapura. 

Pengkaji yang paling terkenal dalam mengkaji gerakan politik komunis ini ialah Prof Dr Cheah Boon Kheng dari USM. Beliau telah membuat kajian kedoktorannya di Australia National University (ANU) pada 1974 dan lulus pada 1979. Kajian beliau bertajuk 'The Masked Comrades' atau 'Komrad Bertopeng,' iaitu agen-agen komunis yang bergerak di pentas di demokrasi dalam sejarah Malaysia.

Kajian beliau adalah berkisar tentang pergerakan Parti Komunis Malaya (PKM) melalui Barisan Bersatu PKM, iaitu parti-parti politik demokrasi yang mendukung sosialisme, yang ditubuhkan oleh PKM seperti yang terkandung dalam risalah 'Secret Plan For Red Malaya.' Mereka cuba meresap masuk dalam parti Melayu seperti PKMM dan sayap-sayapnya seperti API, AWAS, BATAS dan juga Hizbul Muslimin. Tetapi mereka sebenarnya menguasai Malayan Democratic Union (MDU) yang disertai oleh orang Cina dan bukan Melayu yang lain. Cheah Boon Kheng mendakwa Parti Tindakan Rakyat (PAP) adalah lanjutan MDU. Pada kesimpulan kajiannya, beliau menjelaskan:

"Seperti MDU (yang menjadi agen PKM), PAP juga menjadi sebuah pertubuhan Barisan Bersatu PKM, Lee Kuan Yew telah mendakwa bahawa, dalam tahun 1957, beliau dan Fang Chuang Pi, yang dipanggil 'Plen' komunis itu, telah bertemu untuk "mewujudkan semula kerjasama ini di dalam sebuah Barisan Bersatu anti penjajahan."

PAP ketika Singapura berada di dalam Malaysia, mereka telah menubuhkan Malaysian Solidarity Convention (MSC) pada Mei 1965 untuk menggabungkan semua parti bukan Melayu bagi menguasai politik Malaysia. Sedar masalah ini, Tunku Abdul Rahman Putra bertindak menyingkirkan Singapura dari Malaysia pada Ogos 1965. Dalam bulan Oktober 1965, cawangan-cawangan PAP di Malaysia telah bertukar menjadi DAP. Hubungan DAP dengan PAP adalah sangat jelas, kerana ia berasal dari cawangan-cawangan PAP. Tidak pelik jika DAP membawa agenda 'Malaysian Malaysia' dan mulai kelihatan jangan sekali-kali mengabaikan hal ini...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo