Belanjawan 2021 : PN, PH, BN sudah beri isyarat




SEMALAM, sejurus selepas Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Najib Tun Razak membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Parlimen, Perikatan Nasional (PN) tampil dengan kenyataan media menyokong penuh Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada Jumaat lalu.

Kenyataan itu secara tidak langsung melengkapkan ‘pendirian’ atau isyarat awal parti-parti politik utama terhadap sejauh mana belanjawan itu berada di ‘landasan yang betul’ dan boleh diluluskan atau sebaliknya.

Pada masa yang sama ia menggambarkan laluan yang bakal dihadapi oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin walaupun kenyataan PN itu dikaitkan dengan “amatlah wajar agar kesemua pihak mendukung titah Yang di-Pertuan Agong agar mengutamakan rakyat dalam tempoh yang amat mencabar buat negara”.

Meneliti perbahasan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), pada Isnin sudah jelas menunjukkan PH menuntut pelbagai pindaan berhubung belanjawan itu supaya beberapa tuntutan yang dikemukakan sebelum ini diberi perhatian lebih khusus.

Kata Ahli Parlimen Port Dickson itu “belum pasti belanjawan ini kita luluskan dengan cara mudah. Kita (pembangkang) hanya akan sokong belanjawan berhubung Covid-19 dan bukan hal lain,”.

Najib pula dalam ucapannya semalam, Selasa mahukan kerajaan membenarkan pengeluaran RM10,000 dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara one-off dan melanjutkan moratorium sehingga Jun 2021.

“Sokongan saya dan rakan-rakan terhadap bajet ini tertakluk kepada kelulusan kedua-dua ini, jadi sokongan kita (BN) pada bajet ini sokongan bersyarat,” katanya ketika membahaskan rang undang-undang itu.

Bagaimanapun, Pengerusi PNBBC, Shahidan Kassim berkata, tidak timbul isu sokongan bersyarat atau tidak dalam isu itu.

Sebelum pembentangan Belanjawan 2021 ini, menteri kewangan telah mengadakan pertemuan bersama anggota parlimen dari kerajaan dan pembangkang bagi mendengar pendapat mereka. Langkah itu susulan kegagalan PN untuk mengistyiharkan darurat.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini menolak permintaan Muhyiddin untuk mengisytiharkan darurat dan menggesa semua ahli parlimen memastikan Belanjawan diluluskan.

Tidak dinafikan semua ahli Parlimen menghormati titah Seri Paduka tetapi tidak bermakna Belanjawan 2021 tidak boleh disentuh dengan melakukan sedikit sebanyak pindaan bagi memudahkan laluan ke arah meluluskan belanjawan itu.

Tidak salah melakukan penambahbaikan untuk rakyat. Jangan pula ada pihak menganggap sebagai ‘ugutan politik’ tetapi semua ini bagi mewujudkan situasi ‘menang-menang’.

Walaupun Pengerusi PNBBC, Shahidan Kassim berkata, tidak timbul isu sokongan bersyarat atau tidak dalam isu itu tetapi hakikatnya kerajaan PN mempunyai majoriti tipis dan berhadapan jalan sukar untuk meluluskan belanjawan. Lebih-lebih lagi BN bukan anggota PN.

PN walaupun disokong BN tetapi seperti kenyataan PN semalam, sokongan penuh Belanjawan 2021 oleh PN jelas diwakili Muhyiddin selaku Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Yong Teck Lee.

Apa terjadi jika dalam kalangan ahli Parlimen BN ‘buat hal’ ? Hanya kerana seorang dua, risiko amat besar kecuali pada masa yang sama ada perubahan sokongan dalam kalangan parti lain yang berada di blok pembangkang.

Justeru, tiada pilihan setakat ini untuk lulus dan “survive”, belanjawan itu sedikit sebanyak perlu dipinda walaupun tidak semua tuntutan dipenuhi satu persatu. Sekurang-kurangnya beberapa ‘tuntutan’ yang bertujuan meringankan atau melegakan kehidupan rakyat dapat diberi keutamaan dan perhatian.

Justeru sedikit sebanyak pandangan atau saranan yang dikemukakan oleh dua orang bekas Menteri Kewangan yang pernah menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri perlu diberi perhatian.

Pada masa yang sama semua pihak perlu berlapang dada, mengenepikan sementara sentimen politik. Tidak mungkin kerajaan mampu memenuhi kehendak semua orang. Apa yang penting, jangan biar rakyat teraniaya dan kehidupan mereka terjejas akibat belanjawan gagal diluluskan hanya kerana ‘ugutan politik’.

-BebasNews
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post