UMNO Perak Minta MB Berhenti Bermain Politik


PETALING JAYA: Pengerusi Umno Perak, Saarani Mohamad menyelar Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu, memintanya untuk berhenti bermain politik dan menumpukan perhatian kepada kebajikan rakyat.

Dalam satu kenyataan, Saarani berkata Umno telah mengelakkan diri dari mengeluarkan kenyataan politik bagi membolehkan kerajaan negeri dapat fokus sepenuhnya dalam mendepani impak Covid-19.

Namun, katanya, suasana yang cuba dibina itu tidak dihargai dengan baik, dan menuduh Faizal, dari PPBM, merendah-rendahkan Umno dengan tindakan yang membelakangi semangat setiakawan dan prinsip hormat menghormati yang dipersetujui ketika PPBM, Umno dan PAS membentuk kerajaan.

Adun Kota Tampan itu merujuk kepada penjelasan Faizal mengenai pelantikan Adun Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim sebagai setiausaha politik beliau.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa pelantikan Aznel telah mengecewakan Umno Perak kerana ia dibuat tanpa kebenaran ketua parti itu.

“Meskipun saya cuba mengelak untuk membuat kenyataan terbuka apabila beliau melantik seorang dari Adun Umno, tetapi beliau sendiri telah secara terbuka menyatakan bahawa beliau tidak perlu mendapat kebenaran dari parti Umno,” kata Saarani.

Beliau, bagaimanapun, berkata perjanjian bertulis untuk membentuk kerajaan negeri menyatakan perlu ada saling hormat menghormati dalam urusan pelantikan setiap wakil sama ada sebagai ahli majlis mesyuarat (exco), ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan dan lantikan politik yang lain.

“Sewajarnya, pelantikan mana-mana Adun, atau pemimpin Umno dalam kerajaan hendaklah dibincangkan dengan badan perhubungan negeri atas semangat setiakawan dan prinsip hormat menghormati.

“Harus diingat, kerajaan negeri Perak hari ini dibentuk atas semangat setiakawan serta persefahaman bagi memastikan Perak terpelihara daripada ancaman ‘politik yang tidak sihat’. Tanpa semangat setiakawan kestabilan politik negeri ini akan terancam.”

Tetapi, kata Saarani, persefahaman serta perjanjian ketika pembentukan kerajaan negeri Perikatan Nasional dilihat sudah tidak dihormati.

“Hakikatnya, ia sudah berkali-kali dilanggari. Sebelum ini pun, ada cubaan untuk mengubah senarai nama exco yang sudah dipersetujui serta cubaan menukar pelantikan speaker Dun.”

Katanya, Umno tidak tamak kuasa dan ini dibuktikan dalam keputusannya untuk menyokong Faizal ketika kerajaan dibentuk walaupun Umno mempunyai perwakilan paling banyak di Dun.

Saraani berkata, sikap keterbukaan, ketaatan serta tindakan berdiam diri parti itu selama ini boleh dianggap sebagai kelemahan atau diperkotak-katikkan.

“Hentikanlah bermain politik dan bersandiwara serta tumpukan kepada kebajikan rakyat yang menderita sekarang.”

- FMT

Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post