NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pertemuan bukan indikasi Anwar punyai sokongan majoriti - Shamrahayu



Kuala Lumpur: Sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustaffa Billah Shah oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini tidak boleh menjadi indikasi bahawa dia mempunyai sokongan majoriti.

Pakar Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Datuk Dr Shamrahayu Aziz berkata, ia berkait dengan kenyataan Istana Negara bahawa Ahli Parlimen Port Dickson itu tidak menyenaraikan nama mereka yang menyokongnya.

Katanya, ia sebenarnya memberi implikasi secara tidak langsung mengenai peranan ahli politik untuk patuh kepada raja dan negara.

"Pada saya, ia menjadi peringatan kepada orang politik supaya ikut apa yang diperuntukkan di dalam undang-undang.

"Kalau hanya perjumpaan untuk menyatakan ada sokongan, saya fikir ahli politik lain juga begitu malah istana pula mengeluarkan kenyataan khusus mengenainya," katanya.

Sementara itu penganalisis politik USM Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, apa yang dilakukan Anwar hari ini adalah satu ujian kepada penerimaan rakyat kepada kerajaan hari ini.

"Jadi sekarang kita tahu bahawa sokongan memihak kepada siapa," katanya.

Terdahulu Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa sudah mendapat sokongan lebih 120 Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan.

Beliau berkata, dokumen sahih mengenai majoriti kukuh dan meyakinkan daripada Ahli Parlimen menyokongnya sudah dipersembahkan kepada Al-Sultan Abdullah.

Sebelum ini, Anwar dalam kenyataan memaklumkan pihaknya akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana ketika sidang medianya pada 23 September lalu.

Pada satu sidang media di sebuah hotel di ibu negara pada 23 September lalu, beliau mendedahkan mempunyai sokongan kukuh daripada Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo