NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan Majoriti Terlalu Tipis: Beza Kerajaan TSMY Dengan Kerajaan TGNA 2004


oleh: Mohd Fadhil Ghani

Pergolakan politik Malaysia menjadi lebih kencang minggu ini berikutan tindakan KDYMM Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan Kerajaan PN supaya diisytiharkan darurat dalam membendung gejala Covid 19. Tambahan pula, pada awal November 2020 nanti, Dewan Rakyat akan bersidang untuk meluluskan Bajet 2021. Setiap pihak yang berkepentingan terus berpolitik walaupun ditegah oleh Ketua Negara. Muhyiddin Yassin membuat percaturan dalam mempertahankan kuasa, Anwar Ibrahim pula mengatur tindakan untuk mendapatkan kuasa, sedangkan Umno berkira-kira tentang langkah terbaik untuk 'berjual-beli' kuasa.

Puncanya hanya satu. Very simple majority! Dalam 2020 ini sahaja sudah banyak kerajaan yang tumbang. Selepas PRU 2018, yang pertama tumbang ialah kerajaan Musa Aman di Sabah, kemudian ekoran tumbangnya Kerajaan PH di peringkat pusat, kerajaan-kerajaan negeri di Kedah, Johor, Perak dan Melaka juga tumbang, sebelum kerajaan Shafie Apdal tumbang di Sabah. Memimpin sebuah kerajaan dengan majoriti tipis adalah amat mengerikan bagi sebuah ketua kerajaan. Bila-bila sahaja dia boleh di sabotaj, bahkan diugut atau dijadikan kuasa tawar menawar yang melemahkan cengkaman kuasanya. Tiada pilihan, jika mahu kerajaannya bertahan.

Pengalaman pahit Musa Aman, Mukhriz Mahathir, Adly Zahari, Dr Sharuddin Jamal dan Shafie Apdal itu kini menjadi igauan Muhyiddin Yassin. Beliau membentuk kerajaan dengan sokongan parti-parti lain, sedangkan partinya sendiri sangat minoriti. Parti-parti Sabah (GRS) dan Sarawak (GPS) bersama PAS telah mendukung Muhyiddin Yassin, sedangkan Umno yang merupakan parti asal beliau masih bermain tarik tali. Semua pemerhati politik sedar, bahawa parti-parti Sabah dan Sarawak akan beralih dukungan mereka mengikut siapa yang berkuasa di Pusat. Manakala Umno masih 'berdendam' dengan tindakan Muhyiddin Yassin menubuhkan Bersatu pada 2016 bagi menumbangkan Kerajaan BN.

Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin sebenarnya hanya mempunyai 114 penyokong berdasarkan Sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei 2020, berbanding 108 orang yang tidak bersama beliau. Walaupun PH kehilangan satu kerusi (Batu Sapi), tetapi dengan sikap Umno yang berbelah-bagi dalam menyokong Kerajaan PN, kedudukan Muhyiddin Yassin adalah seperti telur di hujung tanduk. Umno mempunyai 37 kerusi, iaitu komposisi terbesar dalam PN (belum dikira bekas-bekas wakil rakyat mereka yang melompat ke Bersatu). Di dalam Umno pula, berpecah kepada beberapa kem. Ada persaingan dalaman di antara pemimpin Umno.

Ada pemimpin Umno yang mahu Muhyiddin Yassin dijatuhkan, mungkin kerana faktor sejarah mereka. Ada pemimpin Umno yang mencadangkan supaya Umno bersama PH sahaja. Ada juga yang mahu Umno bersama Anwar Ibrahim tanpa DAP. Ada mahu Ku Li dijadikan Perdana Menteri. Tetapi ramai juga yang bertegas untuk menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Anwar Ibrahim dan DAP. Sebenarnya ramai pemimpin Umno yang merungut dan tidak berpuas hati dengan kedudukan mereka dalam Kabinet walaupun komposisi mereka terbesar dalam PN. Umno juga tidak berpuas hati dalam pengagihan kerusi PRN Sabah. Dalam banyak hal, Umno memang sakit hati.

Faktor-faktor inilah yang membuatkan Muhyiddin Yassin tidak selesa memimpin. Kerajaannya boleh mencipta rekod sebagai yang terpendek usianya jika ia tumbang dalam masa terdekat ini. Bajet 2021 boleh menjadi kayu ukur masa depannya. Jika undian ketika memilih Speaker Dewan Rakyat pada Mei lalu, majoritinya sangat mendebarkan, itu pun ketika Umno memberikan sokongan. Bayangkan apa yang terjadi jika Umno tidak mengikat disiplin wakil-wakil rakyatnya. Adakah Najib Razak, Tengku Razaliegh Hamzah, Ahmad Zahid Hamidi dan Nazri Aziz akan menyokong bajet tersebut. Muhyiddin Yassin memang tiada kekuatan dalam soal ini. Apakah beliau hanya mengharapkan dukungan istana atau belas kasihan rakyat dengan tersepit dengan Covid 19?

Di sebalik laluan pahit di hadapan Muhyiddin Yassin, rakyat patut melihat pengalaman serupa yang dialami oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan pada 2014. PAS hanya mendapat 24 kerusi, sedangkan Umno memperoleh 21 kerusi di DUN yang berkeahlian 45 anggota itu. Lebihan hanya tiga kerusi. Dalam suasana itu, Umno telah mengemukakan beberapa petisyen pilihan raya untuk mencabar kesahihan kerusi yang dimenangi PAS, termasuk kerusi yang diwakili Menteri Besar. Tiba-tiba ADUN Pengkalan Pasir, Wan Abdul Aziz telah meninggal dunia pada hujung 2005, menjadikan kedudukan 23-21. Dalam PRU 2004, Wan Abdul Aziz hanya menang dengan majoriti 55 undi. Pada 6 Disember 2005, pengundi Pengkalan Pasir memilih untuk menyokong calon BN dari Umno.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz memimpin kerajaan majoriti 1 kerusi (23-22). Satu kerusi yang dimenangi PAS di DUN Kemuning pula hanya dengan majoriti dua undi sahaja. Kerajaan PAS Kelantan disebut 'Kerajaan Dua Undi.' Dalam masa yang sama, ADUN Limbongan, Zainuddin Awang Hamat telah jatuh sakit yang kronik. Di sebelah Umno, usaha-usaha untuk membeli ADUN PAS bukan rahsia lagi. ADUN Kemuning, Cikgu Zakaria Yaakub sendiri mendedahkan bahawa beliau didatangi oleh pihak-pihak tertentu dengan tawaran wang tunai jutawan ringgit dan jawatan penting dalam kerajaan. Jika PAS hilang satu kerusi, kerajaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz akan tumbang.

Tumbangkah kerajaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz? Tidak! Bahkan, kerajaan beliau adalah kerajaan simple majority yang paling stabil dalam sejarah dunia! Tidak ada seorang pun wakil rakyat PAS yang berganjak. Seluruh pujukan, tawaran dan sogokan gagal mencairkan iman wakil rakyat PAS. Kenapa demikian? Inilah yang mesti dipelajari oleh Muhyiddin Yassin dan seluruh rakyat Malaysia. Wakil rakyat PAS telah dibina jati diri mereka dengan kesetiaan, ketaatan dan wala' kepada parti dan pimpinan. Disiplin inilah yang tidak dimiliki oleh ahli mana-mana parti di Malaysia, selain PAS.

Nah! Lihat sendiri bagaimana ketika tegangnya suasana politik negara sekarang. Persaingan kuasa sedang kencang di dalam Umno, tawar-menawar kuasa berlaku inter-parti, di dalam PAS suasana sangat tenang, setenang coppucino di dalam cawan kopi. Tiada sebarang isu, tiada ugutan, tiada tawaran, tiada sogokan, tiada desakan, melainkan ketaatan sahaja. Rakyat Malaysia sebenarnya memerlukan sebuah parti yang ahlinya memiliki kesetiaan seperti ini jika mahu melihat politik negara kembali stabil dan tenang. Jika kita semua belajar dari sejarah ini, kita sebenarnya sudah mempunyai pendirian, parti mana yang akan menjadi pilihan untuk PRU 15 akan datang.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo