Kajian Menunjukkan Pesakit COVID-19 Tanpa Gejala Paling Cepat Hilang Antibodi


LONDON: Satu kajian secara besar-besaran di Britain menunjukkan pesakit COVID-19 tanpa gejala dikesan kehilangan antibodi lebih cepat berbanding mereka yang mempunyai simptom.

Penemuan oleh Imperial College London dan firma kajian pemasaran Ipsos Mori itu turut mendedahkan kehilangan antibodi adalah perlahan dalam kalangan berusia 18 hingga 24 tahun berbanding mereka yang berusia 75 tahun.

Secara keseluruhan, sampel daripada beratus-ratus orang dari England antara pertengahan Jun dan lewat September lalu menunjukkan antibodi virus menurun ke tahap satu per empat.

Kajian yang ditaja oleh kerajaan Britain dan diterbitkan hari ini oleh Imperial College itu menunjukkan tahap imun pesakit COVID-19 berkurangan secara beransur-ansur selepas dijangkiti.

Menteri Kesihatan, James Bethell, berkata penemuan kajian itu adalah kritikal bagi membantu mengetahui secara terperinci mengenai antibodi COVID-19.

Bagaimanapun, Pakar Fakulti Kesihatan Awam Imperial College, Paul Eliott, berkata pihak sains yang terbabit lebih bimbang berhubung perkara yang tidak diketahui mengenai ketahanan antibodi terhadap virus itu.

"Tahap imun antibodi ini masih tidak diketahui atau sampai bila sistem imun ini akan bertahan," katanya.

Kajian yang dibuat membabitkan 365,000 orang dewasa yang dipilih secara rambang antara 20 Jun dan 28 September lalu.

Hasil kajian itu mendapati jumlah mereka yang hilang antibodi adalah 26.5 peratus dalam tempoh tiga bulan. - AFP.
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post