NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Demokrasi berparlimen jadi keutamaan, jangan heret institusi beraja - Pakar Perlembagaan



KUALA LUMPUR: Demokrasi berparlimen perlu menjadi keutamaan sebelum mengheret institusi beraja dalam sebarang krisis politik.

Penyandang Kursi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, sifat tanggungjawab dan kebijaksanaan Ahli-ahli Parlimen perlu diutamakan dalam menyelesaikan krisis mengikut lunas Perlembagaan.

Menghormati gesaan yang dibuat Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, Shamrahayu berkata Parlimen merupakan platform terbaik dalam menyelesaikan krisis kepimpinan ketika ini.
"Dalam konteks ini, kita mengambil contoh Tengku Razaleigh sebagai seorang ahli politik yang sangat senior memilih mengambil pendekatan sebegini.

"Ia supaya isu ini tidak mengheret satu lagi institusi iaitu Raja Berperlembagaan dalam kancah atau krisis yang dicipta oleh demokrasi itu sendiri.

"Pada saya, institusi Yang di-Pertuan Agong ini boleh membantu menstabilkan keadaan. Keadaan itu hendaklah dibantu kestabilannya oleh demokrasi berparlimen dengan kerajaan dan Ahli Parlimen yang bertanggungjawab kerana ini yang rakyat mahukan sebenarnya," katanya kepada Astro AWANI.
Tegasnya, wujud persoalan sama ada krisis politik ketika ini sudah sampai ke satu tahap yang memerlukan campur tangan institusi beraja ataupun tidak.

"Dalam menentukan keberkesanan demokrasi berparlimen itu, saya menyeru kepada semua Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, kembalilah kepada sistem demokrasi berparlimen.
"Kita tunjukkan pada dunia kita mempunyai demokrasi berparlimen yang berkesan.
"Sekiranya demokrasi itu gagal, maka Yang Di-Pertuan Agong atau institusi beraja itu boleh menjadi pemangkin kepada kestabilan dan kemakmuran negara," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan dibuat Tengku Razaleigh supaya usul undi tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri perlu diberi keutamaan.

Ia bagi memastikan keabsahan kerajaan yang dibentuk, selain mengelak sebarang krisis pentadbiran wujud pada masa akan datang.

Sumber: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/demokrasi-berparlimen-jadi-keutamaan-jangan-heret-institusi-beraja-pakar-perlembagaan-263703

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo