Anuar Yang Bagi Tarikh 13hb - PDRM

Polis DiRaja Malaysia menafikan dakwaan beberapa pihak kononnya mereka sengaja memanggil Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi keterangan pada 13 Oktober 2020 bagi menghalang Ketua Pembangkang itu menghadap Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang Di Pertuan Agong.

Pengarah Siasatan Jenayah PDRM, Dato Huzir bin Mohamed memaklumkan bahawa Anwar dipanggil memberi keterangan pada 12 oktober 2020 jam 11.00 pagi, namun ada permintaan ia ditukar kepada 13 Oktober jam 9 pagi atas permintaan pihak Anwar Ibrahim.

“Setiausaha Sulit Anwar memaklumkan bahawa YB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim hanya dapat hadir pada 13 oktober 2020 jam 9.00 pagi,” jelas Huzir dalam kenyataan media yang diedarkan sebentar tadi.

Menurut Huzir, atas permintaan tersebut, PDRM telah menangguhkan janji temu tersebut sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. Justeru tidak timbul ada usaha menghalang Anwar mengadap Yang Di-Pertuan Agong.

Semalam PDRM berhadapan kecaman penyokong Anwar Ibrahim berikutan tersebar berita Anwar dipanggil memberi kenyataan untuk siasatan pada pagi 13 Oktober, beberapa jam sebelum beliau dijadual mengadap Yang Di-Pertuan Agong.

Anwar dijadual mengadap Agong esok bagi memaklumkan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti bagi menjadi Perdana Menteri.

Dalam kenyataan PDRM menegaskan kepada orang ramai agar tidak gusar dengan penyebaran berita tersebut dan menasihatkan semua pihak yang berkepentingan supaya tidak menyebarkan berita yang belum pasti kesahihannya.

PDRM turut mengesahkan bahawa satu siasatan telah dijalankan ke atas kes penyebaran senarai nama 121 ahli parlimen yang menyokong YB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim. Siasatan dibuat berikutan laporan polis daripada ahli parlimen jerantut, pahang pada 8 oktober 2020 yang lalu.

Kes disiasat di bawah seksyen 505(b) kanun keseksaan dan seksyen 233 akta komunikasi Dan multimedia 1998. Sehingga kini, sebanyak enam laporan polis telah diterima dan PDRM masih lagi menjalankan siasatan.-SUARATV
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post