NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tidak Benar BN Serah Jawatan KM Sabah Kepada Parti Lain - Zahid Hamidi

PETALING JAYA: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi berkata, bekas gabungan kerajaan itu tidak bersedia untuk menyerahkan jawatan ketua menteri Sabah kepada parti lain.

Menurut laporan akhbar The Star, Zahid berkata, beliau telah menulis surat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin mencadangkan Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin sebagai ketua menteri negeri itu yang baru.

Beliau berkata, telah 2 kali BN memberi ruang kepada PPBM, iaitu membenarkannya menjadi perdana menteri dan menteri besar Perak walaupun ia (BN) mempunyai wakil lebih ramai.

Katanya, di Perak, Umno mempunyai 25 ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) berbanding PPBM 4 kerusi, namun Umno bersetuju melantik Ahmad Faizal Azumu sebagai ketua menteri.

Selain itu katanya, Umno dan GPS juga bersetuju Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri walaupun PPBM tidak mempunyai anggota Parlimen paling ramai.

“Bagi kita, sekiranya (Adun) BN tidak dilantik sebagai ketua menteri Sabah, maka kos ke atas Barisan pada masa depan menjadi terlalu besar untuk ditanggung.

“Kajian kami menunjukkan kesan ke atas Barisan tidak baik. Saya tidak bersetuju Bung mengalah kepada orang lain di luar Barisan untuk jawatan ketua menteri. Tidak,” kata Zahid menurut laporan itu.

Semalam Bung mendedahkan bahawa Juhar meminta lebih masa untuk memutuskan pelantikan ketua menteri baru selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terdiri daripada Perikatan Nasional, BN dan PBS berjaya memenangi pilihan raya negeri Sabah Sabtu lepas.

Pemimpin PN dan BN dilihat mencapai kata sepakat semalam selepas mengadakan pertemuan selama beberapa jam bagi memutuskan calon ketua menteri GRS.

Bung bagaimanapun enggan menjawab apabila ditanya tentang calon ketua menteri gabungan itu dengan berkata,” biar gabenor buat keputusan”. - FMT

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo