Syarikat Tambang Rendah Australia, Tigerair Umum Penutupan Rasmi Akibat Covid-19


SYDNEY, 11 Sept -- Syarikat penerbangan tambang rendah Australia, Tigerair mengumumkan penutupan rasmi kerana tekanan yang dihadapi syarikat disebabkan COVID-19, lapor agensi berita Xinhua.

Dalam e-mel yang dihantar kepada pelanggannya pada Khamis malam, Tigerair mengesahkan penutupan dan mencadangkan mereka yang masih mempunyai tiket yang sah menukarnya menjadi kredit perjalanan untuk penerbangan kendalian syarikat induk, Virgin Australia.

"Tidak dapat dinafikan bahawa ini adalah masa yang sukar buat semua terlibat dalam industri pengembaraan dan pelancongan," kata kenyataan itu.

"Dukacita, setelah hampir 13 tahun beroperasi, satu keputusan sukar terpaksa kami ambil iaitu menamatkan perkhidmatan jenama Tigerair Australia."

Tigerair memulakan penerbangan pertamanya di Australia pada 2007 dan membuat keuntungan sejak awal 2010 setelah menawarkan penerbangan tambang rendah di laluan domestik yang popular. Ia dimiliki sepenuhnya oleh Virgin Australia pada 2014.

Walaupun berjaya memperoleh kejayaan awal dalam operasi hampir 13 tahun, Tigerair dan syarikat induknya Virgin Australia telah terjejas teruk disebabkan pandemik COVID-19.

Kedua-dua syarikat terpaksa mengambil langkah melantik pentadbir untuk menyelamatkan syarikat menerusi penyusunan semula aset dan liabiliti.

Virgin Australia telah dibeli oleh firma Amerika Syarikat, Bain Capital menerusi perjanjian yang dijangka dimuktamadkan pada akhir Oktober.

-- BERNAMA

Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post