PRN Sabah : Salleh Keruak Wakil I BN Di Dun Usukan


Kota Kinabalu: Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak membuat kemunculan semula selepas diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) mewakili UMNO di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan.

Salleh menyandang kerusi berkenaan selama beberapa penggal sebelum berpindah ke Parlimen Kota Belud.

Selain beliau, seorang lagi pemimpin UMNO yang tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu turut diumumkan iaitu, Datuk Kamarlin Ombi di DUN Lumadan.

Kamarlin menyandang kerusi berkenaan selama dua penggal sebelum digugurkan pada PRU lalu.

Sementara itu, dua bekas Ahli Parlimen BN daripada UMNO turut dicalonkan semula pada PRN kali ini iaitu Datuk Raime Unggi di kerusi Kemabong dan Datuk Jumat Idris di kerusi baharu DUN Darau.

Raime yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah, sebelum ini pernah menjadi Ahli Parlimen Tenom, manakala Jumat sebagai Ahli Parlimen Sepanggar.

Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mengumumkan bertanding di DUN Lamag adalah satu-satunya calon BN mewakili UMNO yang menjadi Ahli Parlimen iaitu di Kinabatangan.

Timbalannya, Datuk Yakub Khan pula membuat kemunculan pertama bertanding di DUN Karambunai.

Sementara itu, Datuk James Ratib yang menyandang kerusi DUN Sugut turut dicalonkan semula.

Beliau sebelum ini adalah antara wakil rakyat UMNO yang meninggalkan parti itu selepas PRU lalu dan menyertai Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sebelum keluar pada Jun lalu. - HM

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post