NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRN Sabah: PAS bukan ‘melukut tepi gantang’ PN ?





Oleh : Shuhaimi Al Maniri

PRN Sabah ke-16 akan diadakan pada 26 September 2020 dengan hari penamaan calon pada Sabtu, 12 September dan pengundian awal pada 22 September. Sejumlah 1.12 juta pemilih berdaftar layak mengundi.

Terkini, DUN Sabah kini mempunyai 73 kerusi, pertambahan sebanyak 13 lagi kerusi berbanding 60 ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sumber daripada laporan media, Barisan Nasional (BN) dikatakan sudah mendapat persetujuan untuk bertanding di sekurang-kurangnya 30 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, sementara 20 kerusi pula diperuntukkan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Secara asasnya, BERSATU Sabah dan UMNO bersetuju untuk kedua-duanya tidak bertembung sesama sendiri, namun mengakui ada sebilangan kerusi agak sukar untuk dirundingkan.

Selebihnya 23 kerusi lagi adalah diagihkan kepada parti-parti dari Sabah yang banyak seperti STAR, PBRS, PBS dan lain-lain. Kemunculan BERSATU pada PRN kali ini menyebabkan UMNO terpaksa melepaskan
beberapa kerusi yang mereka tandingi dalam PRU lalu kepada calon BERSATU.

Di mana PAS bertanding?

PAS, satu lagi parti berasal dari Semenanjung turut menyatakan hasrat untuk bertanding PRN Sabah tetapi sejauh mana hasrat itu akan disambut oleh rakan pakatan dalam PN? Ia sememangnya menjadi kayu ukur keutuhan PN itu sendiri sama ada mereka benar-benar meraikan hasrat PAS atau sebaliknya.

Malah PAS menzahirkan komitmen jitu kepada Perikatan Nasional (PN) dan bersedia mengguna lambang Barisan Nasional (BN) jika bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata PAS tiada masalah untuk berbuat demikian jika rakan sekutu dalam PN, memutuskan untuk menggunakan logo BN.

Jika berpegang kepada usul Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPN Sabah) yang telah diluluskan dalam Muktamar Pemuda baru-baru ini, PAS Sabah digesa bertanding dan mempertahankan kerusi tradisi yang ditandingi di seluruh negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Untuk rekod, PAS bertanding sebanyak 18 kerusi DUN Sabah pada PRU ke14 yang lepas, urut menyaksikan pertambahan sebanyak 15 kerusi yang akan ditandingi oleh PAS Sabah berbanding hanya 3 kerusi pada PRU-13.

Persoalan yang timbul adalah sejauh mana parti komponen PN akan berkompromi bagi memberi laluan kepada PAS? Adakah sekali lagi PAS sekadar menjadi pemain di balik tabir atau kali ini diberi kepercayaan oleh PN untuk bertanding di Sabah yang akan berlangsung 26 September tahun ini?

Berbeza daripada PRN sebelum ini, PAS berada bersama Umno - dalam Muafakat Nasional - serta Bersatu - melalui Perikatan Nasional - untuk menghadapi Warisan dan Pakatan Harapan (PH).

Senelum ini PAS ada menyatakan akan bertanding beberapa kerusi dalam PRN Sabah kali ini. Timbalan Presiden PAS, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dipetik berkata PAS akan bertanding antara 6 hingga ke 10 kerusi daripada 73 kerusi, sebab tradisi PAS memang akan bertanding setiap kali Pilihan Raya di Sabah

Manakala Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setakat ini keputusan awal sudah dipersetujui namun
pengisytiharan calon akan dilakukan selepas kata sepakat dicapai bersama rakan sekutu dalam Perikatan Nasional (PN).

"Kita sedang mengadakan perbincangan, InsyaAllah, bila kita sudah perhalusi dan buat keputusan, kita akan maklumkan.

"Saya percaya keputusan awal sudah dipersetujui, kita akan isytihar senarai calon itu bersama dengan rakan parti yang lain yang membentuk gagasan dalam PN," katanya.

Melihat kepada rekod PRU-14 yang lalu, PAS berpotensi untuk bertanding di 4 kawasan berdasarkan jumlah undi yang diperoleh melebihi 1,000 iaitu Karambunai, Tanjung Aru, Merotai, dan Tanjong Batu. Penerimaan
terhadap PAS di kawasan berkenaan agak signifikan, namun adakah parti komponen BN sedia memberi laluan?

Selain itu bagi menunjukkan PAS Sabah bukan ‘melukut di tepi gantang' PN. mereka juga boleh mensasarkan 2 atau 3 daripada 13 kerusi DUN yang baharu pertama kali dipertandingkan dalam PRN kali ini dan belum dimiliki oleh mana-mana parti lagi.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo