NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRN Sabah : Keputusan PAS Untuk Elak Pertandingan 3 Penjuru


KUALA LUMPUR: Keputusan PAS untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini dibuat bagi mengelak pertandingan tiga penjuru membabitkan parti pembangkang di Sabah yang boleh menguntungkan pihak lain.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata keputusan itu dibuat selepas PAS mengadakan perbincangan hati ke hati atas konsep solidariti pembangkang antara semua parti iaitu Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

"Selaras dengan kenyataan Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) bahawa PAS Sabah tidak bertanding dan memberikan laluan (kepada parti lain) dalam PRN Sabah kali ini, muktamar yang berlangsung pada 13 September secara konsensus bersetuju ia bukan bermakna PAS akan 'bersara' dari politik Sabah, sebaliknya ia sementara sahaja," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, katanya PAS Sabah dibantu oleh PAS pusat akan tetap menggerakkan jentera pilihan rayanya atas kapasiti 'tidak bertanding', namun akan memastikan semua pengundi PAS keluar mengundi bagi menyokong calon Perikatan Nasional dan BN.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, sebelum ini mengakui sebahagian besar ahli PAS kecewa dengan keputusan dibuat Abdul Hadi untuk tidak bertanding dalam PRN Sabah, namun mereka perlu patuh.

Beliau berkata, keputusan itu adalah disebabkan ingin mengelak pertembungan sesama rakan dalam Muafakat Nasional iaitu calon dari BN serta BERSATU.

PAS sebelum ini menyuarakan hasrat untuk bertanding di 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dari 73 kerusi pada PRN Sabah dan berharap tiada pertembungan tiga penjuru. - BH


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo