PRN Sabah gambaran awal pentas PRU15


SURUHANJAYA Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 26 September ini sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 12 September, manakala hari mengundi awal pada 22 September.

PRN Sabah boleh disifatkan sebagai cabaran terbesar kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk meyakinkan rakyat bahawa gabungan tersebut tetap mempunyai sokongan pengundi.

Setiap strategi yang diatur perlu disusun dengan teliti bagi mengelakkan pertelingkahan dalaman yang menyukarkan PN menewaskan Warisan dan Pakatan Harapan di Sabah.

Jika dilihat secara teliti masalah utama PN ialah siapa yang akan mengetuai Sabah jika PN dan Barisan Nasional (BN) menang nanti.

Sehingga kini, PN belum menamakan calon Ketua Menteri Sabah mereka walaupun bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman sebelum ini menawarkan diri untuk kembali menjadi Ketua Menteri.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, calon Ketua Menteri Sabah hanya akan ditentukan sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri.

Beliau berkata, ketika ini BN memfokuskan kepada usaha perundingan kerusi dengan parti politik di Sabah bagi memastikan pertembungan satu lawan satu dapat direalisasikan.

Ahmad Zahid berkata, BN mengambil sikap untuk memurnikan sebarang perundingan berhubung agihan kerusi parti politik di Sabah dan kebijaksanaan strategi serta kompromi mesti mendepani sebarang permintaan daripada parti yang bertanding.

Kritikal

Sementara itu, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mengetuai parti itu dalam PRN Sabah menyifatkan PRN kali ini adalah pilihan raya paling kritikal.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, parti yang kalah pada PRN Sabah itu bukan sahaja dianggap tidak relevan, malah bakal lenyap berikutan hilang kepercayaan daripada rakyat negeri itu.

“Kalau kami tewas, UMNO dan Bersatu Sabah sudah tidak relevan. Jadi, oleh sebab itu apa yang saya katakan perkara (pilihan raya) ini terlalu penting,” katanya.

Selain masalah calon Ketua Menteri, PN juga perlu menyelaraskan logo yang akan digunakan dalam pilihan raya nanti.

Ini penting bagi memastikan pengundi tidak keliru dengan logo parti yang baharu seperti logo Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Jika PN mampu bertanding dengan satu logo sama seperti menggunakan logo BN, ini akan memberi kelebihan kepada gabungan tersebut kerana logo BN sudah dikenali di Sabah.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu tiada masalah jika rakan sekutu dalam PN memutuskan untuk menggunakan logo BN.

“Kita nak guna simbol masing-masing pun boleh, kita terbuka. Nak guna simbol PN pun boleh tetapi belum ada tapi sudah ada cadangan.

“Jika kita guna lambang BN, ia bukanlah kali pertama Pas menggunakan lambang lain kerana kita pernah berbuat demikian pada 1974 ketika Pas masih berada dalam BN,” katanya.

Jika dua masalah itu dapat diselesaikan, ia memberi signal awal bahawa PN dan BN adalah gabungan yang kuat dan mampu bekerjasama bagi menghadapi PRN.

Soal pembahagian kerusi pula dijangka mampu diselesaikan jika isu calon Ketua Menteri dan logo dapat dimuktamadkan.

PRN Sabah akan memberi gambaran awal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan boleh dianggap sebagai gelanggang panas badan parti-parti politik yang berkempen.

Rakyat akan dapat melihat gabungan manakah yang bekerjasama dengan baik dan siapakah yang menikam rakan sendiri.

Walaupun politik di Sabah sedikit berbeza dengan pentas politik di peringkat nasional, namun ia cukup untuk memberi gambaran awal siapa lawan siapa pada PRU15 nanti.

Penganalisis politik daripada Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, jika PN dan BN menang pada PRN Sabah, PRU15 dijangka diadakan seawal Januari 2021.

* Riswandi Razak ialah Web Master Sinar Harian Online

Sumber: https://m.sinarharian.com.my/mobile-article?articleid=115992


Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post