NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PLUS-JPJ buka Pusat Kawalan Penguatkuasa Lebuhraya pertama seumpamanya di lebuhraya

Sekali lagi PLUS Malaysia Bhd (PLUS) telah berkolaborasi dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk membuka sebuah Pusat Kawalan Penguatkuasa Lebuhraya (Unit Penguatkuasaaan Lebuh raya) JPJ yang pertama seumpamanya di lebuhraya kendaliannya. Ia adalah salah satu daripada langkah meningkatkan lagi tahap keselamatan di lebuh raya, pusat kawalan ini yang terletak di bangunan penyeliaan Plaza Tol (Lama) Jelapang di KM268 di Lebuhraya Utara-Selatan.

Majlis perasmiannya telah disempurnakan secara bersama oleh Ketua Pengarah JPJ, Dato’ Sri Shaharuddin Khalid dan Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi, disaksikan oleh Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Dato’ Ir. Mohd Shuhaimi Hassan serta pegawai-pegawai kanan JPJ.

Zakaria berkata, “PLUS sentiasa mencari pelbagai pendekatan untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan di semua lebuh raya kendalian kami agar pelanggan dapat terus menikmati perkhidmatan lebuh raya yang selamat dan selesa.

“Justeru, selain daripada memberi fokus terhadap aspek kejuruteraan lebuh raya dan pendidikan menerusi program-program advokasi keselamatan jalan raya, kami turut melihat kepada aspek penguatkuasaan undang-undang dengan kerjasama JPJ dan agensi penguatkuasa yang lain.”

Beliau turut berkata, kehadiran anggota JPJ yang mengadakan penguatkuasaan undang-undang di lebuh raya PLUS amat penting terutamanya dalam menangani isu-isu berkenaan kenderaan berat seperti penggunaan tayar botak, membawa muatan berlebihan dan tidak stabil dan lain-lain adalah amat kritikal.

“Umum mengetahui bahawa kebanyakan isu halangan atau objek yang berpunca daripada kenderaan berat seperti serpihan tayar, kayu, besi dan lain-lain mendatangkan bahaya kepada pelanggan-pelanggan kami. Kehadiran Rakan Keselamatan Jalan Raya PLUS seperti pasukan penguatkuasa JPJ di lebuh raya memainkan peranan penting dalam meningkatkan tahap tahap keselamatan di lebuhraya PLUS,” tambah Zakaria.

Dato’ Sri Shaharuddin pula berkata, “Inisiatif yang telah dijalankan oleh PLUS membuktikan peranannya sebagai ‘Rakan Negara’ yang baik dalam membantu JPJ untuk meningkatkan tahap keselamatan di lebuh raya. PLUS telah menyediakan empat pejabat untuk Unit Penguatkuasaan Lebuhraya iaitu di R&R Pagoh, Johor, R&R Dengkil di Selangor, R&R Gunung Semanggol dan terbaharu Pusat Kawalan Penguatkuasa Lebuhraya, Ipoh di Perak”.

Dalam majlis tersebut, PLUS dan JPJ turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menjalankan inisiatif dan memperkukuh kerjasama strategik melibatkan operasi dan pelaksanaan penguatkuasaan bagi meningkatkan aspek keselamatan di lebuh raya PLUS.

Sejak tahun 2017, PLUS dan JPJ serta agensi penguatkuasa yang lain telah melaksanakan lebih kurang 165 Ops Halangan. Statistik ini membuktikan komitmen kedua-dua pihak serta agensi penguatkuasa yang lain untuk menangani isu halangan di lebuhraya dan membantu pelanggan menikmati perjalanan yang selamat di lebuh raya.

“Selain itu, langkah mewujudkan sebuah Pusat Kawalan Penguatkuasa Lebuhraya (UPLR) JPJ di lokasi yang strategik iaitu berada di tengah-tengah jajaran Lebuhraya Utara-Selatan memberi akses yang lebih mudah bagi memberi bantuan awal dan kecemasan apabila berlaku sebarang insiden di lebuh raya,” ujar Zakaria lagi.

Pusat ini yang telah mula beroperasi sejak 1 Julai lalu mengawal selia segala akitiviti Unit Penguatkuasaan Lebuhraya (UPLR) yang melibatkan 4 Zon penguatkuasaan utama.

Sebelum ini, PLUS dan JPJ juga telah membuka tiga Stesen Penguatkuasa Lebuhraya JPJ di R&R PLUS iaitu di Dengkil (Arah Selatan), Gunung Semanggol (Arah Selatan) dan Pagoh (Arah Selatan) secara berperingkat sejak 2018.

Sumber : Paultan

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo