NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

BERJASA Mesti Tanding Kerusi Majoriti Melayu, Cina MCA Demi Survival Bumiputera



PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU-15) sudah tentunya akan menjadi sengit kerana norma politik lama telah berubah kepada baharu dengan tertubuhnya Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Ultra kiasu MCA mesti akan mempertahankan bermati-matian kerusi ‘tradisi’ kawasan majoriti Melayu, yang ditandingi selama ini, sekurang-kurangnya untuk memberikan kemenangan mudah kepada ultra kiasu DAP.

Itulah sahaja cara bagi meneruskan agenda bersama walaupun caranya berbeza MCA secara evolusi, manakala DAP secara revolusi.
 
Inilah perancangan strategik licik ultra kiasu sejak dahulu. Kita sahaja yang terlalu perasan atas alasan negara ini mesti meraikan berbilang kaum. Sedangkan tidak ada seorang pun menafikan hakikat negara ini berbilang kaum, tetapi perlu ada formula dalam menguruskannya.

Inilah juga satu-satunya cara untuk memberi kemenangan mudah kepada ultra kiasu ini. Hakikatnya, ultra kiasu MCA sudah memberikan kemenangan tanpa bertanding kepada DAP di kawasan majoriti Melayu kerana undi Melayu terpecah dua. Sedangkan undi Cina solid kepada ultra kiasu DAP. Semua tahu MCA pasti kecundang berhadapan dengan ultra kiasu DAP kawasan majoriti Cina.

Perkembangan terkini, tidak mustahil PAN dan PKR akan menyeberang kepada Bersatu (PPBM), bagi meneruskan talian hayatnya. Sesuatu yang sukar untuk dijangka dan diramalkan, tetapi tidak mustahil berlaku, kerana politik berkaitan dengan persepsi dan perkiraan untung rugi. Perletakan jawatan beberapa pemimpin PAN sudah menampakkan hakikat ini.

Jika ini berlaku, sudah tentu strategi ini akan mendapat restu daripada ultra kiasu kerana inilah satu-satu caranya memastikan suara liberal menguasai impak penyatuan Bumiputera Melayu, seperti dalam MN dan PN.

Justeru, dalam menghadapi semua kemungkinan ini, MN dan PN perlu kuat. Bertegaslah bermula daripada sekarang. Jangan terlalu beri muka kepada ultra kiasu, kerana ultra kiasu akan terus merancang untuk memecahkan penyatuan Bumiputera.

Pertama, jangan mainkan sentimen perkauman, kerana akan merugikan, lagi pun Islam melarang sedemikian. Tetapi ubah strategi kepada mendaulatkan Perlembagaan. Perlembagaan begitu jelas dalam memberikan hak kepada yang berhak. Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi sesebuah negara.

Misalnya, pakar Perlembagaan seperti Prof Shad Faruqi, telah lama menafsirkan bahawa Perlembagaan hanya memberi hak orang Cina untuk belajar bahasa Cina, bukan belajar dalam bahasa Cina, tetapi kita terus memberikan muka atas alasan ini hak bukan Bumiputera.

Kita tidak berani untuk melaksanakan sesuatu yang menjadi hak walaupun Perlembagaan membenarkan. Inilah masalah pemimpin hari ini. Justeru, sudah sampai masa kedaulatan Perlembagaan menjadi agenda utama politik hari ini.

Kedua, jawatan Perdana Menteri (PM) dan Timbalan hendaklah kekal dalam kalangan Bumiputera. Ketuanan Bumiputera tidak boleh dielakkan untuk terus dilaungkan sebagai strategi menyekang pengaruh ultra kiasu dan liberal.
 
Ketiga, kerusi kawasan majoriti Bumiputera (Melayu) mesti di tandingi oleh Bumiputera, tidak langsung boleh lagi diserahkan kepada ultra kiasu MCA.

Jika berlaku juga kerana takutkan ultra kiasu ini, parti BERJASA atau bebas mesti masuk bertanding di kawasan majoriti Bumiputera, bagi memastikan MCA kecundang di kawasan yang didakwa sebagai kerusi tradisi.

Percayalah, jika itu berlaku, kita akan lihat nanti bagaimana ultra kiasu akan bersatu mengundi ultra kiasu bagi memastikan calon Bumiputera kecundang. Menunjukkan betapa solidnya undi ultra kiasu.

Begitu juga sebanyak mana kerusi yang ditandingi ultra kiasu MCA berhadapan dengan ultra kiasu DAP di kawasan majoriti Cina, sebanyak itu juga wakil parti Melayu atau bebas turut bertanding di sana. Memang kita tahu, ultra MCA tidak ambil kisah pun. Tetapi daripada segi strateginya, kita dapat buktikan majoriti Cina tidak akan sokong ultra MCA, sudah tentu mereka tidak akan sokong wakil Bumiputera yang bertanding. Secara langsung kita tahu, kawasan majoriti Cina, solid ultra kiasu DAP. Faham atau tidak.

Jangkaan saya, ultra kiasu MCA akan tumpas di Sabah. Pada hemat saya, kedua-dua parti ultra kiasu ini sama sahaja. Jika mereka menang, tanah yang menjadi hutan simpan, tanah adat dan tanah rizab akan terancam.

Apa yang berlaku di Raub, Pahang, sudah cukup untuk menjadi pengajaran. Apabila ultra kiasu berkuasa, hak-hak Melayu dan Bumiputera akan semakin terancam. Kerja merasuah dan menutup pihak berkuasa sudah menjadi asam garam ultra kiasu. Apa yang penting, hajat mereka kesampaian.

Saya tidak menafikan bahawa sikitol dan mandaliar terdapat juga dalam masyarakat Melayu sehingga banyak tanah tergadai

Keempat, calon yang ada terpalit dengan pendakwaan dan pertuduhan berkaitan rasuah hendaklah mengundurkan diri dan memberikan laluan kepada muka-muka baharu

Kelima, pemimpin-pemimpin politik yang telah otai hendaklah memberi laluan kepada muka-muka baharu. Didiklah muka-muka baharu ini untuk beramanah dalam berpolitik.

Keenam, formula 2/3 + 1/3 hendaklah dilaksanakan. Bermaksud, bagi negeri yang contohnya UMNO lebih dominan, seperti Pahang, UMNO 2/3, PAS 1/3. Begitulah sebaliknya di Terengganu, PAS 2/3, UMNO 1/3. Begitu juga dengan negeri-negeri yang lain. PAS elok juga dapat dilihat dominasinya di Selangor, biar nampak seimbang. Selangor untuk PAS. Pusat Untuk MN/PN, maka tidaklah timbul persepsi atau isu PAS parti bulian untuk pacak bendera dan mengerah rakyat.

Jika ini data dilakukan, bermakna, kita bijak berstrategi. Sudah tentu strategi akan menakutkan ultra kiasu, yang selama ini begitu bongkak disebabkan oleh ‘kebodohan’ kita. Memang terasa sukar untuk dilaksana, tetapi tidak mustahil. Jangan merancang untuk gagal lagi disebabkan kita gagal merancang. Jika gagal merancang, kita merancang untuk gagal.

Ketujuh, kerusi lompat yang berlaku selama ini, hendaklah diberikan kepada parti asal. Ini bagi mengelakkan pertandingi tiga penjuru yang menguntungkan ultra kiasu. Keadilan membawa maksud memberikan hak kepada mana yang lebih berhak.

Kelapan, seperti yang berlaku dalam parti PAS, bai’ah perlu jadi mekanisme penting tetapi perincian mestilah dibuat oleh para ulama dan pakar undang-undang. Perkara ini perlu dilakukan bagi menjaga maslahah ummah secara keseluruhan. Pemimpin Melayu Islam wajib berbai’ah, tetapi bai’ah itu lebih kepada dalam konteks hidup bernegara daripada berparti demi menjaga maruah agama.

Kesembilan, strategi hendaklah dirangka untuk merampas kembali Pulau Pinang daripada ultra kiasu. Perkara ini tidak mustahil boleh dilakukan jika Melayu dan Bumiputera bersatu.

Semua cadangan ini dibuat demi memastikan bahawa UMNO dan PAS selamanya saling bergantungan. Ketuanan BN bukan lagi keutamaan tetapi KETUANAN BUMIPUTERA yang melibatkan UMNO, PAS, GPS (termasuk Sabah) dan Bersatu jadi teras negara, tanpa menafikan bukan Melayu dan bukan Islam.

Suka atau tidak, Malaysia memerlukan majoriti dua pertiga kerusi Bumiputera. Perkara ini amat penting dalam membina negara, terutama memperbaiki kerosakan puluhan tahun yang selama ini telah dilakukan.

Jika semua ini berjaya, percayalah, negara ini akan dapat dipacu dengan penuh hikmah, aman dan harmoni tanpa menafikan hak-hak bukan Islam dalam sebuah negara majoriti Bumiputera.

Ingat kata-kata ini! majoriti dihormati, minoriti dirahmati

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

Sumber : Ismaweb

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo