Menteri Kewangan Berkunjung Ke Masjid Rusila – Syahir Sulaiman

“Sampai juga saya ke masjid ini”, ujar YB Tengku Zafrul sebaik melangkah masuk ke ruang solat Masjid Rusila.

Tengku Zafrul, nama yang tidak asing dalam dunia korporat dan perbankan, namun hanya dikenali umum setelah dilantik sebagai Menteri Kewangan yang baharu oleh Perdana Menteri di bawah kerajaan Perikatan Nasional.

Keistimewaan Masjid Rusila.

Kunjungan beliau ke Masjid Rusila pada 5 September adalah susulan kunjung hormat Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ke Pejabat Menteri Kewangan di Parlimen tempoh hari, dan pastinya menjadi suatu penghormatan jua kepada Masjid Rusila yang menjadi institusi terpenting dalam penyebaran ilmu dan syiar Islam dalam kalangan masyarakat.

Di awal pertemuan, Tuan Guru membawa YB Menteri untuk meninjau ruang solat di Masjid Rusila, dan berkongsi sejarah masjid tersebut yang diasaskan oleh moyang beliau sendiri lebih 100 tahun yang lalu, sehingga pembinaan fasa seterusnya termasuklah penubuhan Maahad Darul Quran, yang kesemuanya dibina dengan dana waqaf dan sumbangan orang kampung.

YB Menteri amat teruja apabila dimaklumkan, kuliah Jumaat yang diadakan setiap minggu di Masjid Rusila bukan sahaja dihadiri oleh ribuan jemaah yang melimpah hingga ke luar, malah diadakan juga ‘pasar minggu’ di ruang sebelah masjid bagi membolehkan pengunjung membeli barangan harian di samping merancakkan aktiviti perniagaan dan ekonomi setempat.

Dalam pertemuan tersebut, YB Menteri dan Tuan Guru berbual panjang mengenai sosio-budaya di negeri Terengganu, serta beberapa penekanan terhadap perlunya meningkatkan taraf hidup rakyat melalui aktiviti keilmuan, pembangunan modal insan dan kemajuan ekonomi yang seimbang. Di samping itu, perhatian perlu diberikan untuk memberikan peluang yang saksama kepada rakyat bawahan khususnya di luar bandar, supaya tidak terabai atau dikesampingkan.

Cadangan kepada Menteri Kewangan.

Pada masa yang sama, Tuan Guru sebagai Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah turut menyerahkan suatu Kertas Cadangan untuk pertimbangan YB Menteri Kewangan, berkaitan langkah-langkah yang boleh diambil oleh Kerajaan Malaysia bagi memulihkan ekonomi pasca COVID-19, khususnya melalui peluang kerjasama negara-negara Islam di rantau Asia Tenggara dan Timur Tengah.

Perkara ini adalah susulan kepada “Laporan Eksekutif Situasi Terkini Di Rantau Timur Tengah Dan Potensi Kerjasama Antara Malaysia Dan Negara-Negara Timur Tengah”, yang telah dikemukakan oleh Tuan Guru kepada YAB Perdana Menteri pada 18 Ogos yang lalu, bagi menerangkan situasi terkini politik dan ekonomi di rantau Timur Tengah serta impak-impak yang signifikan terhadap kepentingan Malaysia.

Tuan Guru berpandangan, usaha menarik pelaburan dari Timur Tengah pasca COVID-19 adalah mendesak dan perlu disegerakan. Selain pelaburan ekuiti dan hartanah yang menjadi tarikan utama kepada pelabur Timur Tengah, Malaysia wajar menjadi destinasi utama pelaburan dalam sektor komoditi, pertanian moden, pelancongan, industri halal dan kewangan Islam, di samping perkongsian pintar untuk meningkatkan pembangunan sains dan teknologi dalam negara.

Justeru Belanjawan 2021 wajar menyediakan Insentif Khas untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) khususnya dalam kalangan negara-negara Timur Tengah supaya dapat disalurkan kepada lima koridor ekonomi negara (NCER, ECER, IM, SDC, SCORE), dalam bentuk pelepasan cukai, pemberian geran, penghapusan birokrasi (fast-track approval) dan seumpamanya.

Di samping itu, Tuan Guru turut menyampaikan pandangan seorang tokoh kewangan negara yang melihat adanya kewajaran supaya Malaysia menjadi negara tuan rumah (host country) untuk menubuhkan dan mengawalselia suatu tabung yang dinamakan “Islamic Countries COVID-19 Rehabilitation Fund”, dengan menawarkan kepakaran di pihak Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan Malaysia.

Dana khas ini boleh dijadikan ‘instrumen perkongsian’ dalam kalangan negara-negara Islam bagi membiayai langkah-langkah pemulihan kesihatan dan ekonomi, dengan mengambil model inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan melalui Pakej Rangsangan PRIHATIN dan PENJANA, serta SUKUK PRIHATIN yang telah dilancarkan oleh Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.

Manakala dalam aspek penggubalan Bajet 2021, Tuan Guru menyarankan agar Kerajaan dapat mengambil langkah serius terhadap reformasi sistem cukai negara yang lebih saksama, berpandukan firman Allah SWT yang bermaksud, “Supaya harta itu tidak hanya berlegar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu” (Al-Hasyr: 7).

Secara dasarnya, kitaran kekayaan negara mesti dikembangkan agar tidak meminggirkan golongan bawahan, khususnya mereka yang kurang berkemampuan. Ini adalah prinsip pengurusan kekayaan yang ditekankan oleh Islam, melalui pelaksanaan sistem Zakat, Waqaf dan percukaian yang bersifat adil dan saksama, di samping menentang amalan rasuah, monopoli dan manipulasi dalam ekonomi, berdasarkan konsep Negara Madani.

Dalam hal ini, PAS pernah mengemukakan beberapa cukai alternatif untuk dipertimbangkan oleh pihak Kerajaan, dengan mengambil contoh konsep dan kaedah Zakat Harta, Zakat Simpanan, dan Zakat Saham, seperti Cukai Lebihan Keuntungan (Windfall Tax), Cukai Lebihan Simpanan, dan Cukai Saham yang dikenakan terhadap ‘lebihan kekayaan’ (surplus of wealth) tanpa menjejaskan insentif untuk mengejar kekayaan, namun bersifat sebagai penstabil (stabiliser) untuk menggerakkan kitaran kekayaan dalam negara secara saksama.

Semoga pertemuan yang amat bermakna di antara tokoh Ulama’ dan Teknokrat di Masjid Rusila ini, membawa natijah yang sebaiknya kepada kemaslahatan rakyat dan negara.

Catatan Syahir Sulaiman
Setiausaha Politik Presiden PAS
7 September 2020

Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post