NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Krisis DUN Johor, 5 Adun BERSATU Mengadap Sultan Johor

(Dari kiri, atas) Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh, Rasman Ithnain, Rosleli Jahari, Alwiyah Talib dan Mohd Izhar Ahmad.

Lima anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu dilaporkan mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan menyatakan kesetiaan mereka kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ia berlaku ketika kedudukan kerajaan PN Johor diperkatakan ramai ekoran tindakan salah seorang Adun Bersatu, Osman Sapian, menghadiri majlis anjuran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akhir-akhir ini.

Untuk rekod PN menguasai DUN Johor dengan majoriti tipis iaitu hanya dengan kelebihan dua kerusi.

Adun Permas, Che Zakaria Mohd Salleh, memberitahu media pertemuan dengan sultan itu berlangsung di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, semalam.

Dipetik portal Harian Metro, Che Zakaria berkata pertemuan itu diadakan untuk menyembah maklum kepada Sultan Ibrahim bahawa mereka setia kepada kerajaan negeri pimpinan PN.

"Kami berlima memohon menghadap Sultan Ibrahim dan Tuanku berkenan untuk menerima kami untuk mengadap baginda.

"Dalam pertemuan itu kami menyatakan kepada baginda bahawa kami menyokong kerajaan sedia ada dan tidak akan berubah arah kepada parti lain," katanya.

Selain Che Zakaria, ia turut dihadiri Adun Sedili, Rasman Ithnain; Adun Johor Lama, Rosleli Jahari; Adun Endau, Alwiyah Talib dan Adun Larkin, Mohd Izhar Ahmad.

Politik Johor kembali dihangatkan dengan pelbagai khabar angin termasuk langkah lanjut Osman yang juga Adun Kempas itu mungkin dipecat atas pembabitannya dengan program Pejuang.

Pejuang merupakan parti yang ditubuhkan bekas pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad.

DUN Johor memiliki 56 kerusi dengan 29 dimiliki PN. Daripada jumlah itu 14 merupakan wakil Umno, diikuti 12 Bersatu, dua MIC dan seorang PAS.

Pembangkang pula menguasai 27 kerusi dengan 14 adalah DAP, sembilan Amanah dan empat PKR.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo