NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kematian Adib: PDRM cadang kaji semula laporan patologi


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk mengkaji semula laporan patologi berhubung kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, cadangan itu berikutan pihaknya gagal menemui bukti baharu yang boleh mengenal pasti individu terbabit dalam kes berkenaan.

"Kita telah pun mencadangkan kepada Jabatan Peguam Negara supaya laporan patologi dapat dikaji semula.

"Jabatan Peguam Negara pada dasarnya bersetuju satu jawatankuasa ditubuhkan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengkaji laporan patologi itu," katanya ketika diwawancara pada program bual bicara Malaysia Prihatin: Keamanan dan Keselamatan Rakyat bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang disiarkan di TV1 RTM, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya jawatankuasa itu masih lagi tidak berpuas hati selepas kajian semula dibuat pihaknya tiada jalan lain selain mengesyorkan inkues kali kedua.

"Di pihak PDRM, saya memberi jaminan saya tidak ada apa-apa kepentingan untuk melindungi kepentingan politik sesiapa pun namun kita mahu bertindak di atas fakta untuk memberi keadilan kepada semua pihak.

"Tidak ada apa-apa agenda yang tersirat, tidak baik dalam kes ini. Kita beri jaminan siasatan yang sebaiknya," katanya.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN). - HM

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo