NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu Minum Arak dan Kelab Malam Yang Cuba Dikelirukan DAP

TIADA MASALAH DI DALAM KENYATAAN DATUK DR KHAIRUDDIN TAKIRI DAN DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI 

Saya tidak melihat kenyataan Datuk Dr Khairuddin Takiri semalam mengenai “Kalau tak buka (kelab malam) selamanya pun tak apa” sebagai satu kenyataan yang boleh mendatangkan masalah kepada sokongan pengundi bukan Melayu terhadap PAS atau terhadap Kerajaan PN.

Apa yang dinyatakan oleh Datuk Dr Khairuddin Takiri hanyalah pernyataan sokongan ke atas kenyataan spontan Perdana Menteri mengenainya dan ia adalah di dalam konteks menangani permasalahan yang ditimbulkan oleh pemandu mabuk, sepertimana kata beliau, “Tidak perlu berpesta sehingga mabuk lalu menimbulkan pelbagai lagi permasalahan”, dan di dalam konteks menghormati suara ramai, sepertimana kata beliau, “Ikutlah suara ramai sebagai suara demokrasi majoriti dan minoriti.”

Begitu juga dengan kenyataan Dr Nik Muhammad Zawawi ketika perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 di Dewan Rakyat pada 26 Ogos lalu yang dibuat di dalam konteks menyokong cadangan untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang dibuat oleh Menteri Pengangkutan bagi meningkatkan kadar hukuman atau penalti selain menjadikan hukuman penjara sebagai satu bentuk hukuman yang mandatori bagi kesalahan memandu tidak mematuhi peraturan jalan raya sama ada menyebabkan kematian atau kecederaan, khususnya yang membabitkan kesalahan memandu semasa berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah.

Ini jelas dalam ucapan Dr Nik Muhammad Zawawi berbunyi “Syabas saya ucapkan kerana dalam tempoh yang singkat, Kerajaan Perikatan Nasional berjaya membawa suatu perundangan yang tegas, yang membuktikan komitmen yang tinggi, yang dapat kita beri jaminan kepada rakyat di dalam negara kita.” 

Dan dalam konteks inilah beliau menyebut “Saya kira tidak ada agama sebenarnya yang membenarkan penganutnya untuk minum arak. Tidak ada. Agama Buddha, agama Hindu, agama-agama ini tidak membenarkan. Jadi, saya rasa isu ini ia tidak jadi satu isu yang sensitif bagi agama lain daripada agama Islam.”

Setelah dicelah oleh Ahli Parlimen Beruas, beliau berkata “aya minta Yang Berhormat Beruas supaya dia mengkaji betul-betul fakta-fakta agama yang ada, termasuk kalau dalam agama Kristian yakni fakta sebelum daripada Kitab Injil ini dipesongkan ataupun diubah. Sebenarnya, asal agama yang diturunkan termasuk agama Masihi yang dibawa oleh Nabi Allah Isa a.s. mengharamkan apa jua bentuk arak termasuk minum yang sedikit.”

Beliau berkata begitu pula bukan atas dasar kepartian tetapi adalah atas dasar bidang pengajian beliau seperti katanya, “Dalam pengajian di peringkat PhD pun saya belajar dalam perbandingan agama… Ini adalah bidang pengajian saya”.

Ditambah pula oleh penegasan beliau bahawa “Saya sama sekali tidak berhasrat untuk memburukkan mana-mana agama. Ini kerana kalau ada agama yang membenarkan benda ini, bermakna mereka sendiri memburukkan agama mereka. Sebab arak ini adalah benda yang sangat tidak baik dalam kehidupan manusia. Ia boleh memabukkan. Macam-macam perkara boleh berlaku apabila berlakunya mabuk. Oleh sebab itu saya minta pihak Yang Berhormat Menteri supaya buat kerjasama dengan menteri-menteri yang lain supaya penjualan arak biar betul-betul dikawal. Begitu juga dengan pusat-pusat hiburan yang liar.”

Jadi saya berpandangan bahawa kedua-dua kenyataan Datuk Dr Khairuddin Takiri dan Dr Nik Muhammad Zawawi ini bukanlah cubaan PAS untuk memaksakan kehendak parti mereka ke atas rakyat, atau berpunca daripada gesaan daripada akar umbi PAS, tetapi sekadar menyatakan sokongan kuat mereka ke atas kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri dari BERSATU dan Menteri Pengangkutan dari MCA.

Perlu difahami bahawa apa-apa perubahan dasar kerajaan memerlukan kajian terperinci serta perlu dibawa ke dalam Jemaah Menteri dan ke dalam sidang Parlimen untuk dibincang dan diputuskan bersama, di mana pada kedua-dua peringkat ini terdapat perwakilan bukan Islam yang akan menyuarakan pandangan mereka ke atasnya. Saya yakin bahawa Jemaah Menteri dan sidang Parlimen akan menghormati suara ramai, termasuk suara bukan Islam.

Isu-isu yang dibangkitkan di dalam media, iaitu sama ada majoriti rakyat benar-benar setuju supaya kelab malam tidak dibuka selamanya atau sama ada Kitab Injil asal mengharamkan apa jua bentuk arak kepada penganut agama Kristian, adalah isu-isu sampingan yang boleh dikaji dan dibahaskan secara ilmiah melalui pelbagai saluran yang ada, bukannya dengan cara membuat laporan polis atau menyaman di mahkamah.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo