NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Usaha perkasa pembinaan hijau



Oleh Prof Madya Dr Md Asrul Nasid Masrom

Tahap kesedaran dan prestasi melaksanakan projek berteraskan alam sekitar, ekonomi dan sosial menjadi perdebatan hangat dalam industri pembinaan. Malaysia turut dianggap sebagai negara membangun yang agresif dengan pembangunan infastruktur.

Pembinaan lestari atau hijau ialah konsep pembinaan mempromosi pembangunan mesra alam sekitar, ekonomi dan sosial. Namun, ia berhadapan cabaran dan memerlukan sokongan jitu.

Pembinaan lestari memerlukan amalan tertentu dalam pembinaan terutama pemilihan bahan dilabel hijau, sumber mesra alam sekitar, kaedah pembinaan dan reka bentuk.

Ia bagi meningkatkan prestasi, mengurangkan beban projek terhadap alam sekitar, mengurangkan pembaziran sumber dan pembinaan lebih mesra alam secara holistik.

Proses secara sistematik juga tonggak utama memastikan kelancaran pelaksanaan pembinaan infrastruktur sama ada di bawah seliaan kerajaan atau swasta. Terdapat beberapa sistem perolehan pembinaan biasa digunakan dalam projek pembinaan seperti sistem konvensional, reka dan bina, pengurusan projek dan sistem berteraskan hubungan kerjasama.

Lazimnya, pemilihan sistem perolehan bergantung keperluan pelanggan, jenis projek, tahap risiko ditanggung pelanggan, sumber dan struktur organisasi terbabit dalam projek pembinaan. Kebanyakan projek pembinaan di sektor kerajaan menggunakan kaedah perolehan konvensional secara tender terbuka, selektif atau rundingan terus.

Ciri utama kaedah perolehan secara konvensional berperingkat dan berasingan antara proses reka bentuk dengan pembinaan menjadi faktor utama kepada proses perolehan menjadi panjang dan lama. Jurang komunikasi antara perunding dengan kontraktor turut menyumbang pertikaian dalam projek pembinaan menggunakan sistem perolehan konvensional.

Berdasarkan situasi ini, perolehan hijau kerajaan diperkenalkan bagi mengatasi masalah dalam perolehan konvensional terutama sektor kerajaan. Garis panduan perolehan hijau yang bakal diperkasakan ialah usaha kerajaan menggalakkan penggunaan produk dan servis bercirikan hijau atau lestari.

Ia antara langkah kerajaan mencapai teras utama dalam Pelan Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016-2020 ke arah pembangunan lebih lestari.

Perolehan hijau kerajaan untuk produk dan perkhidmatan terpilih diperkenalkan pada 2012 oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, selaras penubuhan Dasar Teknologi Hijau Negara yang menjadi pemangkin pertumbuhan teknologi hijau.

Pada 2018, garis panduan Pelaksanaan Perolehan Hijau Kerajaan (GGP) 2.0 diterbitkan sebagai rujukan terkini, merangkumi 20 kriteria GGP untuk produk dan perkhidmatan hijau seperti peralatan ICT, sistem penyaman udara dan perkhidmatan pembersihan.

Perolehan hijau kerajaan dijangka memberi isyarat kepentingan konsep hijau untuk menangani masalah pencemaran akibat proses pembangunan tidak mengambil berat aspek kesan terhadap alam sekitar sebelum ini.

Pelaksanaan perolehan produk dan perkhidmatan berasaskan keperluan juga usaha mengelakkan pembaziran.

Usaha kerajaan memperkasakan amalan perolehan secara inovatif perlu dipuji. Ia membuktikan keseriusan meningkatkan kualiti pemuliharaan alam sekitar dan kehidupan masyarakat secara komprehensif. Ia tidak hanya tertumpu kepada alam sekitar, bahkan menggalakkan penggunaan dan pengeluaran produk hijau dengan efektif.

Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) juga menyatakan perolehan hijau kerajaan mampu menggalakkan pembangunan industri hijau tempatan. Justeru, industri tempatan berpeluang bersaing dalam pengeluaran produk dan perkhidmatan bercirikan hijau. Ia membantu pengeluar tempatan memasarkan produk inovatif bercirikan hijau dengan lebih meluas.

Pelbagai inisiatif diperkenalkan ke arah merealisasikan pelaksanaan perolehan hijau kerajaan dalam menyokong hala tuju Malaysia ke arah pembangunan lestari. Pelan Induk Industri Pembinaan 2006-2015 menggariskan kepentingan memulihara alam sekitar.

Polisi Teknologi Hijau Kebangsaan, Perolehan MyHijau, dan pH-JKR antara usaha kerajaan memastikan perolehan hijau dapat dilaksanakan berkesan.

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) juga merangka pelbagai pelan dan rancangan menyokong pelaksanaan itu.

Antaranya, Jawatankuasa Teknikal Amalan Terbaik Teknologi Hijau Dalam Industri Pembinaan ditubuhkan pada 2010, membabitkan profesional industri pembinaan.

Jawatankuasa ini membantu CIDB menyediakan manual, garis panduan dan Standard Industri Pembinaan berkaitan teknologi hijau.

Program berkaitan teknologi hijau semakin giat dijalankan termasuk program pelabelan hijau bagi produk pembinaan, iaitu CIDB Green Label.

Objektif utamanya, menggalakkan pengeluaran produk binaan berkonsep hijau atau mesra alam oleh pengeluar bahan binaan di negara ini.

Walaupun perolehan hijau kerajaan belum diaplikasikan secara formal di mana-mana projek pembinaan di Malaysia, usaha awal ini perlu dijunjung secara konsisten dan menyeluruh. Peringkat awal, ia mungkin sedikit 'canggung' diamalkan, namun lama-kelamaan 'alah bisa tegal biasa.'

Usaha meletakkan Malaysia setanding negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jepun yang semakin mengamalkan pembinaan berteraskan alam sekitar, ekonomi dan sosial ini serta kerjasama erat kerajaan, pemain industri dan ahli akademik perlu dimantapkan lagi.

***Penulis adalah Ketua Kumpulan Fokus Sustainable Infrastructure Management, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).



No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo