Urusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-16


1. Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menerima pemakluman rasmi daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada 30 Julai 2020, berhubung dengan pembubaran DUN Sabah penggal yang ke-15. 

2. Sehubungan dengan itu, SPR telah mengadakan Mesyuarat Khas pada hari ini dan menetapkan bahawa satu Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah ke-16 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran mulai pada 31 Julai 2020 bagi mengisi kekosongan 73 kerusi DUN berkenaan. 

3. Bagi maksud menjalankan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Bagi Negeri Sabah ke-16 ini, SPR telah menetapkan tarikh-tarikh penting seperti yang berikut : 

Hari Penamaan Calon : 12 September 2020(Sabtu )
Hari Mengundi Awal : 22 September 2020 ( Selasa )
Hari Mengundi : 26 September 2020 ( Sabtu) 

4. Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding sehingga pukul 11.59 malam, 25 September 2020 (Jumaat)

5. Bagi urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara, tarikh buka dan tarikh tutup permohonan adalah seperti berikut :

Tarikh Buka : 17 Ogos 2020 ( Isnin )
Tarikh Tutup (dalam negara) : 11 September 2020 ( Jumaat )
Tarikh Tutup (luar negara) : 3 September 2020 ( Khamis)

6. Bagi menjalankan proses PRU DUN ini, SPR telah melantik 73 orang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh 193 orang Penolong Pegawai Pengurus. Manakala untuk tujuan memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR juga menubuhkan 73 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR). Pasukan PP-KPR ini akan dianggotai oleh wakil-wakil daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding.

7. Bagi maksud PRU DUN Sabah ke-16, sebanyak 64 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan.

8. Untuk memudahkan proses penamaan calon, SPR menyeru kepada bakal-bakal calon yang ingin bertanding dalam PRU DUN Sabah ke16, agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah sebelum Hari Penamaan Calon. Selain itu,bakal-bakal calon juga adalah dicadang untuk membuat pembayaran deposit lebih awal. Ini adalah bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.

9. Walau bagaimanapun, adalah diingatkan bahawa Kertas Penamaan Calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus itu hendaklah dikemukakan oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa Hari Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon yang telah ditetapkan oleh SPR.

10. SPR akan meneruskan penyiaran secara langsung proses-proses pilihan raya menerusi FB Live di laman Facebook SPR sebagaimana yang dilaksanakan pada PRK sebelum ini.

11. Seramai 30,540 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRU DUN Sabah ke-16. Manakala, sebanyak 741 buah Pusat Mengundi yang mengandungi 2,540 Tempat Mengundi (saluran) dan 56 Pusat Mengundi Awal bagi pengundian yang mengandungi 73 Tempat Mengundi (saluran) Awal akan digunakan. PRU DUN Sabah ke-16 ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM186 juta. 

12. Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan untuk PRU DUN Sabah ke-16 ini adalah Daftar Pemilih Induk 2019 dan Daftar Pemilih Tambahan ST1/2020 yang dikemaskini sehingga 29 Julai 2020. Daftar Pemilih tersebut mengandungi 1,124,598 orang pengundi yang terdiri daripada 1,103,646 orang pengundi biasa, 9,448 orang anggota tentera dan pasangan, 11,423 orang

anggota polis dan pasangan polis Pasukan Gerakan Am (PGA) serta 81 orang Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara. Daftar Pemilih tersebut akan mula dijual pada 7 September 2020 (Isnin). 

13. SPR akan turut menghantar Kad Pengundi (Voter’s Card) kepada semua pengundi Sabah. Voter’s Card ini mengandungi maklumat Pusat Mengundi, Saluran Mengundi, Nombor Bilangan Pengundi, Tarikh, Masa Pengundian dan Cadangan Masa Keluar Mengundi yang digalakkan. Ia akan memudahkan pengundi untuk mengetahui maklumat pengundian mereka dan melancarkan lagi proses pada hari mengundi serta membantu dalam pematuhan penjarakan fizikal di pusat-pusat mengundi selari dengan langkah-langkah kawalan penyebaran wabak Covid-19 sebagaimana yang dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

14. Mulai tarikh 7 September 2020 (Isnin), para pengundi boleh membuat semakan Daftar Pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui laman portal SPR (www.spr.gov.my) atau menelefon ke talian 03-88927018 atau melalui SMS 15888 atau melalui aplikasi MySPR Semak. 

15. Pada PRU DUN Sabah ke-16 ini, SPR turut menawarkan kepada mana-mana agensi Kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), mana-mana badan atau individu berkelayakan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya dalam melihat perjalanan proses PRU DUN bermula dari hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan. Mereka dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan pusat penjumlahan rasmi undi serta perlu mematuhi kesemua syarat-syarat pelantikan yang telah ditetapkan oleh SPR. Permohonan untuk menjadi Pemerhati Pilihan Raya Umum DUN Sabah ke-16 ini boleh dikemukakan kepada SPR melalui e-mel pemerhati@spr.gov.my mulai hari ini, 17 Ogos 2020 (Isnin) dan tarikh tutup adalah pada 25 Ogos 2020 (Selasa). 

16. Bagi menggalakkan pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari mengundi, SPR akan melaksanakan kempen `Jom Kita Undi` melalui pelbagai saluran media termasuk di media elektronik, media sosial, media cetak, hebahan melalui siar raya dan pemasangan kain rentang di lokasilokasi strategik seperti di tempat-tempat tumpuan awam, hentian bas dan lain-lain tempat yang bersesuaian. 

17. SPR mensasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi. SPR juga memohon kerjasama semua pihak termasuk pihak media dan parti-parti politik agar turut mengambil langkah untuk menyeru dan menggalakkan pengundi supaya keluar mengundi. 

18. SPR juga akan meneruskan penambahbaikan seperti berikut: a. Menyediakan saluran khusus bagi pengundi yang berumur 60 tahun dan ke atas di setiap Pusat Mengundi; b. Memanjangkan tempoh masa pengundian selama 30 minit dari jam 7.30 pagi hingga 5.00 petang berbanding pada PRU-14 iaitu dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang; 6 c. Sebanyak 332 saluran baharu ditambah bagi mengelakkan jumlah pengundi terlalu ramai di satu-satu saluran menjadikan keseluruhannya adalah 2,613 saluran berbanding 2,281 saluran pada PRU-14; DAN d. Pengundi-pengundi Orang Kurang Upaya (OKU) akan mengundi di Saluran 1. Pada PRU DUN Sabah ke-16 ini seramai 12,297 orang pengundi OKU telah dikenal pasti dan mereka adalah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 

19.Maklumat-maklumat lain berhubung dengan PRU DUN Sabah ke16 ini, terutamanya mengenai garis panduan khas penjalanan pilihan raya yang mengambilkira pandemik Covid-19 akan dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh SPR. 

Sekian dan terima kasih. 

DR. AZMI SHAROM 
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) 
Tarikh : 17 Ogos 2020 / 27 Zulhijjah 1441H
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post