NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terima kasih kerajaan atas komitmen tubuh RCI Tabung Haji



11 Ogos 2020 | 22 Zulhijjah 1441H

1. Dewan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan, khususnya Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) atas komitmen untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji seperti dijawab dalam sesi penggulungan bahas titah diraja petang tadi.

2. Pemuda PAS berpendapat RCI adalah satu-satunya jalan bagi menyelesaikan kemelut pertelingkahan isu Tabung Haji. Kita mahu segala urusniaga dan pelaburan yang dibuat Tabung Haji menepati matlamat dan hasrat penubuhannya seperti yang digagaskan Prof Diraja Ungku Aziz dalam kertas kerjanya pada tahun 1959.

3. Sementara menunggu Mesyuarat Jemaah Menteri membuat keputusan berkenaan RCI dan jika diluluskan, sementara siasatan dijalankan, Pemuda PAS menggesa supaya pengurusan Tabung Haji yang sekarang 'direhatkan' dari tugas dan digantikan dengan pengurusan baru yang segar, berkelayakan, profesional serta tiada kaitan dengan pengurusan sebelum ini, baik di zaman kerajaan PH mahupun BM.

4. Pemuda PAS juga menuntut supaya segala siasatan yang dibuat hendaklah dilakukan secara profesional, tanpa gundah ganjara dan tidak berpihak kepada sesiapa. Kita mahu segala pekung dibuka bagi memastikan perjalanan Tabung Haji sentiasa di landasan yang betul, menepati hasrat sebagai institusi kewangan Islam terbesar yang menjaga amanah lebih 9.3 juta pendeposit.

5. Pemuda PAS berharap agar dengan penubuhan RCI Tabung Haji, ia dapat menghentikan segala spekulasi dan tuduhan yang merosakkan nama serta imej Tabung Haji. Semoga insititusi ini sentiasa dipelihara Allah dan berada di tangan mereka yang benar-benar layak.

Terima kasih Kerajaan! Selamatkan Tabung Haji!

Ahmad Fadhli Shaari
Timb Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo