Penularan virus di Australia berpunca kegagalan skema kuarantin: Inkuiri

FOTO FILE: Orang ramai menikmati malam yang cerah di tepi air di hadapan Sydney Opera House di tengah pelonggaran sekatan penyakit koronavirus (COVID-19) di Sydney, Australia, 20 Mei 2020. REUTERS / Loren Elliott
SYDNEY, 18 Ogos  -- Penularan virus COVID-19 di Victoria berpunca hampir keseluruhannya daripada skema kuarantin hotel yang bertujuan menempatkan mereka yang baru kembali dari luar negara, lapor agensi berita Xinhua berdasarkan hasil siasatan.


Sejak akhir Jun, Victoria telah mengalami kebangkitan semula virus itu, memuncak kepada 725 jangkitan harian pada 5 Ogos dan  menyebabkan pelaksanaan semula kawalan pergerakan, termasuk larangan pergerakan pada waktu malam di ibu negerinya, Melbourne.

Ben Howden, pakar mikrobiologi perubatan dan penyakit berjangkit, pada Isnin memberitahu siasatan mengenai skema itu bahawa menurut penjujukan genom, 99 peratus kes di Victoria  setakat akhir Julai boleh dikesan kembali terhadap individu yang kembali dari luar negara.

Sungguhpun Howden tidak merujuk secara langsung kepada program kuarantin hotel atau yang berada di dalamnya, adalah menjadi dasar Australia untuk menempatkan semua individu yang pulang dari luar negara dalam kuarantin hotel, yang beroperasi di peringkat negeri sejak Mac.

Dengan jumlah kes harian Victoria semakin berkurangan pada beberapa minggu terakhir, perhatian beralih kepada kegagalan sistem kuarantin hotel, dengan dakwaan bahawa ia dikendalikan dengan buruk sehingga mengakibatkan jangkitan tersebut tersebar kepada masyarakat.

Bukti menunjukkan banyak kekurangan protokol oleh pengawal keselamatan yang dikatakan oleh pengkritik sebagai tidak terlatih atau tidak dilengkapi untuk bertugas dalam pencegahan virus.

Pakar mikrobiologi dan pakar penyakit berjangkit, Lindsay Grayson, memberitahu siasatan bahawa program latihan dalam talian untuk pengawal adalah "mengelirukan" dan "salah".

"Sebahagian besarnya seperti modul latihan buat masyarakat umum, dan bukannya untuk seseorang yang akan bersentuhan langsung atau bertanggungjawab bagi menguruskan pesakit COVID," kata Grayson.

Peguam Diraja Tony Neal QC (Queen’Counsel) berkata program kuarantin hotel Victoria "gagal mencapai matlamatnya" untuk mencegah COVID-19 daripada merebak ke dalam masyarakat.

Neal menambah bahawa siasatan itu bertujuan untuk menentukan siapa yang bertanggungjawab untuk memantau program berkenaan dan apakah latihan yang disediakan untuk petugas mencukupi.

-- BERNAMA

Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post