NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemerintah Lubnan dijangka letak jawatan


BEIRUT: Kerajaan Lubnan pimpinan Perdana Menteri, Hassan Diab dijangka mengundurkan diri secara besar-besaran hari ini, susulan insiden letupan besar yang menghancurkan sebahagian bandar raya ini, Selasa lalu.

Angka kematian akibat letupan berpunca daripada simpanan ammonia nitrat di pelabuhan Beirut itu setakat ini sudah meragut lebih 150 orang, manakala kira-kira 6,000 lagi cedera.

Sementara itu, ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal di sebahagian kawasan kejiranan di bandar raya ini.

Beberapa menteri sudah memaklumkan mengenai kemungkinan mengundur diri, dengan Menteri Penerangan, Manal Abdel Samad mengumumkan peletakan jawatan petang semalam.

"Saya minta maaf kepada rakyat Lubnan kerana gagal memenuhi aspirasi mereka. Perubahan tetap sukar difahami. Oleh kerana realiti tidak seiring dengan cita-cita. Selepas tragedi ini, saya mengemukakan peletakan jawatan saya dalam kerajaan," katanya.

Menteri Alam Sekitar, Damianos Kattar memaklumkan kepada Perdana Menteri, Hassan Diab dalam pertemuannya semalam bahawa "rakan-rakan anak saya mati dalam letupan dan saya tidak dapat terus melaksanakan tanggungjawab ini di kementerian".

Sumber-sumber menteri memberitahu agensi berita, ArabNews, bahawa Diab menggesa menteri yang berniat meletak jawatan supaya menangguhkannya sementara.

Kabinet Lubnan akan bertemu hari ini bagi membincangkan isu pengunduran besar-besaran dan bukannya keluar secara individu.

Speaker Parlimen, Nabih Berri semalam mengumumkan sidang terbuka Parlimen, Khamis ini untuk berbincang dengan pemerintah mengenai nilai kerosakan yang menimpa ibu kota dan rakyat.

Sekiranya, pemerintah mengumumkan pengunduran diri hari ini, ia akan berubah menjadi pemerintah sementara sehingga pemerintahan baharu dibentuk.

Seorang anggota blok Parlimen, Dr Assem Araji, mengatakan tiada tarikh akhir khusus bagi Presiden untuk meminta perundingan Parlimen bagi melantik Perdana Menteri baharu.

"Inilah yang terjadi kepada pemerintahan sebelumnya dan ia memakan waktu yang lama, tetapi dengan keadaan sekarang, rundingan seharusnya berlangsung dengan cepat.

"Kami menghadapi masalah besar. Kerosakan disebabkan kecuaian dan ada tragedi kemanusiaan besar yang memerlukan penyiasatan antarabangsa untuk mengetahui siapa yang bertanggungjawab terhadap jenayah ini," katanya kepada ArabNews.

Ahli Parlimen, Neemat Frem mengumumkan meletak jawatan dari ibu pejabat Patriarki Maronite, 24 jam selepas pengunduran tiga Ahli Parlimen Parti Kataeb pada Sabtu dan Ahli Parlimen, Marwan Hamadeh dari Parti Sosialis Progresif.

Ketua Parti Tindakan Lubnan, Samir Geagea, memaklumkan mengenai usaha dilakukan untuk membantu republik itu supaya membubarkan Parlimen.

Dalam Twitternya beliau menyebut: "Kami membuat seruan diperlukan dan berusaha keras untuk mengumpulkan sejumlah pengunduran yang mencukupi bagi melakukan pilihan raya parlimen secepat mungkin." - Agensi

Sumber: https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2020/08/719594/pemerintah-lubnan-dijangka-letak-jawatan

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo