Pemergian Esam Eryan, menyusuli Mursi.


Abdul Mu'izz Muhammad
14 Ogos 2020.

Jika mengikuti wawancara-wawancara media dengan pihak Ikhwanul Muslimin, sudah pasti kita akan mengenali tokoh yang bernama Esam Eryan. Beliau dianggap sebagai jurucakap bagi gerakan Islam tersebut.

Esam Eryan menggalas jawatan sebagai salah seorang dari anggota Maktab Irsyad, yang merupakan badan tertinggi dalam Ikhwanul Muslimin. Beliau juga sebagai timbalan presiden Parti Kebebasan & Keadilan (FJP), yang berfungsi sebagai sayap politik bagi Ikhwanul Muslimin.

Keterbukaannya berdepan dengan media menjadi antara faktor mesej-mesej gerakan Islam itu dapat disampaikan ke khalayak umum. Ini dapat dilihat dengan prestasi Ikhwanul Muslimin terutamanya dalam pilihanraya presiden memenangkan Mursi setelah revolusi menggulingkan Hosni Mubarak.
Esam Eryan kemudian di tangkap oleh pentadbiran Sisi, setelah operasi pembantaian & rampasan kuasa pada 2013. Selama 7 tahun mendekam, beliau dituduh dengan pelbagai tuduhan yang membabitkan hukuman penjara selama 150 tahun.

Pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin itu meninggal dunia di penjara Tora. Sebutan nama penjara 'Signi Turah' agak menggerunkan bagi sesiapa yang tahu sejarah pergolakan politik Mesir. Penjara tersebut sangat masyhur menempatkan tahanan-tahanan politik oleh pemerintahan tentera. Ia tersimpan banyak kisah penyeksaan yang brutal.

Sekalipun kematiannya dikatakan berpunca dari serangan jantung yang dianggap 'normal' bagi umur 66 tahun sepertinya, namun kes kematian di dalam penjara cukup menimbulkan curiga. Seperti yang telah berlaku ke atas Mursi, apakah beliau mendapat layanan kebajikan & perubatan yang sewajarnya? Itu semua akan diadili di akhirat.

Kita doakan agar beliau beroleh pahala syahid & ganjaran syurga penuh rahmat dari Allah. Dengan pengalaman keluar masuk penjara sejak 1981, ternyata kematian adalah kerehatan abadi bagi insan pejuang yang tegar seperti Esam Eryan.

Sumber: https://www.facebook.com/abdulmuizz.muhammad.5/posts/3442670005763751
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post