NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

MOSTI Cadang Vaksin COVID-19 Diberi Percuma

CYBERJAYA, 19 Ogos – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan mencadangkan kepada Kabinet untuk menyediakan vaksin COVID-19 secara percuma kepada rakyat Malaysia, sebaik vaksin berkenaan diperolehi, kata menterinya, Khairy Jamaluddin.

“Kabinet belum memutuskan perkara berkenaan, tetapi saya mencadangkan kepada Kabinet, sebaik kita mendapatkan bekalan vaksin COVID-19, ia diberi secara percuma kepada rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) di sini, hari ini.

Khairy berkata selain dari China, Malaysia turut melihat negara pengeluar vaksin lain yang dapat menghasilkan vaksin yang selamat dan berkesan dengan kos berpatutan.

“Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di bawah Kementerian Kesihatan sedang mendapatkan data dari ujian klinikal sebelum kami bersetuju untuk membeli vaksin berkenaan. Melalui data itu, kita dapat memastikan sama ada vaksin berkenaan selamat dan berkesan atau tidak,” katanya.

Khairy berkata MOSTI telah diberi mandat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengadakan rundingan terus dengan pembekal vaksin bagi mendapatkan kos yang berpatutan.

Bagaimanapun, Khairy melahirkan kebimbangan tentang akses terhadap vaksin berkenaan khususnya bagi negara-negara membangun seperti Malaysia, kerana terdapat syarikat farmasi yang cenderung mengunci pembelian dengan negara-negara besar.

“Kami tidak suka melihat terdapat negara-negara tertentu melakukan pembelian awal dengan syarikat farmasi, memonopoli pembelian vaksin. Tetapi ia terjadi pada hari ini,” katanya. – BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo