MENGGALI MUTIARA ILMU DARI AL-QURAN: Ulasan karya terbaru TGHH


Oleh : Ustaz Dr Fadli Ghani

Al-Quran adalah sumber rujukan bagi seluruh urusan kehidupan manusia. Ia adalah gedung ilmu bagi orang-orang beraqal. Bahkan lebih hebat lagi apabila memerintahkan supaya manusia membaca dan menulis untuk menggali ilmu, memberitahu bahawa program pembangunan terpenting ialah mengilmukan manusia, kemudian al-Quran mengangkat orang-orang yang berilmu beberapa darjat di atas orang yang tidak berilmu, dan akhirnya al-Quran menjelaskan bahawa hanya orang berilmu sahaja yang takut kepada Allah. Demikian itulah kuatnya hubungan al-Quran dengan ilmu, sehingga seluruh persoalan yang diangkat oleh al-Quran hanya difahami oleh orang-orang berilmu sahaja.

Keluasan ilmu al-Quran adalah meliputi dahulu, sekarang dan akan datang, mencakupi urusan dunia dan akhirat, mengandungi urusan tauhid, ibadat dan kehidupan manusia, memandu kehidupan peribadi, keluarga, masyarakat dan negara, mengatur pembinaan manusia dan tamadunnya. Al-Quran bukan sekadar berbicara soal hati dan masjid, kepercayaan dan ritual sahaja, tetapi ia berbicara soal hubungan manusia sebagai makhluk dengan Penciptanya, dan juga hubungan manusia dengan seluruh alam, terutama sesama manusia. Maka menggali dan mamahami lautan ilmu dari al-Quran akan membawa manusia menuju ke pelabuhan kejayaan.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, tokoh ulamak dan pemimpin gerakan Islam yang berpengalaman luas dalam dunia ilmu dan perjuangan. Sepanjang menjadi murabbi ummah, beliau telah berwacana dengan lebih 130 buah karya tulis. Dalam bidang al-Quran sahaja, beliau telah mengkhatamkan Kuliah Tafsir Pagi Jumaatnya sebanyak dua kali, di samping turut menuliskan tafsir al-Quran menerusi Tafsir at-Tibyan meliputi surah-surah al-Baqarah, al-Kahfi, Yaasiin, Luqman, al-Hujurat, al-Hasyr, as-Soff, Al-Fill dan al-Asr. Keilmuan beliau tentang al-Quran tidak menjadi persoalan lagi, dan kini beliau telah mengungkapkan kedudukan al-Quran sebagai sumber ilmu bagi manusia dalam mengabdikan diri kepada Allah dan membina tamadun kemanusiaan.

Menerusi buku terbaru beliau, Celupan Jarum Kecil di Lautan Ilmu al-Quran, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menggariskan bagaimana al-Quran berperanan menjelaskan kepada manusia tentang Islam sebagai satu-satunya cara

hidup yang diterima oleh Allah. Maka, untuk kehidupan yang cemerlang di dunia dan akhirat, manusia mesti mengambil ilmu dan panduan daripada al-Quran. Seluruh ilmu yang berkembang dalam kehidupan manusia pada asasnya berindukkan al-Quran. Kerana pada hakikatnya, ilmu berfungsi memperkenalkan kepada manusia tentang Khaliqnya.

Dalam hal ini, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menjelaskan peranan al-Quran kepada manusia melalui tiga aspek iaitu sebagai petunjuk antara hak dan batil, sebagai pembina ketamadunan manusia dan sebagai pengatur sistem hidup manusia yang syumul. Al-Quran telah menunjukkan melalui ilmu yang terkandung di dalamnya tentang bagaimanakah manusia boleh mendapatkan petunjuk dari Allah untuk kekal berada di atas jalan yang benar. Al-Quran menetapkan seluruh hukum dan peraturan untuk membentuk nizamul hayah (sistem kehidupan) yang tersusun dan teratur bagi kesempurnaan hidup manusia. Dan al-Quran juga mendorong manusia melalui pengembangan ilmu, fungsi dan potensinya untuk mereka mencapai kemajuan hidup dan membina tamadun.

Saya berterima kasih kepada Sdr Muhamad Saifullah Musaif yang telah mengirimkan buku ini kepada saya, sehingga dapat saya menikmati ilmu yang terungkap di dalam buku ini dan dapat pula berkongsi dengan tuan-tuan tentang buku ini serta kepentingannya. Saya menyeru seluruh warga pembaca supaya memiliki, membaca dan mengambil panduan daripada buku ini.

*******
Untuk dapatkan karya istimewa ini boleh beli di pautan di bawah :
https://bit.ly/2WSN2Zb
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post