NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mahkamah Benar Muhyidin Batal Saman TunM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos ― Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tiga lagi berjaya dalam permohonan mereka untuk membatalkan saman yang difailkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan yang lain berhubung pembatalan keahlian mereka dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Dengan membenarkan permohonan Muhyiddin dan tiga lagi defendan, Hakim Mahkamah Tinggi Datin Rohani Ismail memutuskan bahawa Dr Mahathir dan lima lagi plaintif tidak mempunyai lokus standi untuk mengemukakan tindakan undang-undang terhadap defendan.

Beliau juga memutuskan bahawa mahkamah berpandukan peruntukan undang-undang dan kes di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 mahkamah mendapati Seksyen 18C terpakai dalam kes sekarang.

“Sehubungan itu mahkamah tidak memiliki bidang kuasa untuk mendengar atau menentukan tuntutan plaintif,” katanya.

Seksyen 18C menyatakan bahawa sebarang keputusan parti politik adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mahkamah.

Mahkamah memerintahkan plaintif membayar kos RM30,000 kepada semua defendan.

Hakim Rohani juga menolak permohonan plaintif untuk mendapatkan perintah injuksi untuk mempertahankan status quo mereka sebagai ahli Bersatu sehingga pendengaran saman itu kerana mahkamah telah membatalkan keseluruhan tindakan.

Pada 9 Jun, Dr Mahathir, anaknya Datuk Seri Mukhriz, Dr Maszlee Malik, Datuk Amiruddin Hamzah, Datuk Marzuki Yahya dan parti itu sendiri telah memfailkan saman berhubung pembatalan keahlian mereka dalam Bersatu, yang dinamakan sebagai plaintif pertama hingga keenam.

Mereka menamakan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dan Pemangku Pengerusi; Setiausaha Agung Datuk Seri Hamzah Zainudin; Setiausaha Kerja Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) Masyati Abang Ibrahim sebagai defendan pertama hingga keempat.

Menjelaskan mengenai faktor lokus standi, hakim itu berkata pada 4 Jun 2020 Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, telah mengesahkan keputusan Bersatu bahawa plaintif pertama, Dr Mahathir telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi pada 24 Feb dan berdasarkan Fasal 16.9 Perlembagaan Bersatu, Muhyiddin yang merupakan defendan pertama, memangku jawatan sebagai Pengerusi Bersatu

Beliau mengatakan bahawa telah termaktub bagi setiap pertubuhan berdaftar diatur oleh perlembagaan dan berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan ia juga telah termaktub bahawa perlembagaan pertubuhan yang berdaftar beroperasi sebagai kontrak antara ahli-ahlinya.

“Fasal 10.02 Perlembagaan Bersatu memperuntukkan kehilangan keahlian secara automatik oleh peristiwa tertentu yang telah ditentukan iaitu Fasal 10.2 menyatakan bahawa ‘keahlian seseorang ahli terhenti secara serta-merta apabila berlaku mana-mana satu berikut’ iaitu termasuk Fasal 10.2.6 menyatakan bahawa “seseorang ahli yang membawa apa-apa jua perkara parti atau hak keahliannya ke mahkamah,” katanya. ― Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo