Kotoran Bawah Kuku Ketika Berwuduk


SOALAN :

Ketika mengambil wuduk kalau ada kotoran atau daki dibawah kuku adakah sah wuduk itu atau tidak sah?


JAWAPAN :

Disyaratkan bagi sah membasuh anggota wuduk hendaklah tidak ada di atas kulit atau kuku atau di bawahnya suatu yang menegah dari sampai air kepadanya.

Dari kerana itu tidak sah membasuh anggota wuduk jika ada suatu di atas anggota wuduk samada kulit atau kuku atau bulu melainkan suatu itu sedikit dan sukar menanggalkannya.

Berkata Imam Taqiyuddin :

وَيجب إِيصَال المَاء إِلَى جَمِيع الشّعْر والبشرة حَتَّى لَو كَانَ تَحت أظافره وسخ يمْنَع وُصُول المَاء إإِلَى الْبشرَة لم يَصح وضوؤه وَصلَاته باطلة

Artinya : “Dan wajib menyampaikan air kepada sekelian bulu dan kulit sehingga jikalau ada dibawah kukunya kotoran yang menghalang sampai air kepada kulit nescaya tidak sah wuduknya dan solatnya itu rosak.” (Kitab Kifayatul Akhyar)

Tersebut pada kitab Fathul Mujib :

(و) الثالث (غسل اليدين إلى المرفقين) ويجب إزالة ما على اليدين من الحائل كالوسخ المتراكم من خارج إلا إذا تعذر فصله ويعفى عن قليل وسخ تحت الأظافير 

Artinya : “Dan yang ketiga ialah membasuh dua tangan sampai ke siku. Dan wajib menghilangkan apa yang ada di atas dua tangan dari yang menghalang seperti kotoran yang terkumpul dari luar melainkan jika uzur menanggalkanya. Dan dimaafkan yang sedikit dari kotoran yang ada di bawah segala kuku.”


KESIMPULAN

Wajib sampaikan air dibawah kuku ketika membasuh tangan ketika berwuduk.

Jika ada kotoran dibawah kukunya dan air basuhan tidak sampai pada kulit atau kukunya maka wuduknya itu tidak sah akan tetapi jika kotoran itu sedikit maka dimaafkan daripadanya.

walllahua’lam 

FB ustaz azhar idrus

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post