NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan kaji cadangan tubuh amanah lebuh raya, turunkan kadar tol di 35 lebuh raya

KUALA LUMPUR, 29 Ogos  -- Kerajaan sedang dalam proses meneliti kertas cadangan untuk mengumpulkan kesemua 35 lebuh raya termasuk enam yang kini dalam proses pembinaan untuk diletakkan di bawah satu badan amanah lebuh raya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ia merupakan antara usaha kerajaan untuk menurunkan kadar tol termasuk di lebuh raya PLUS.

“Terdapat cadangan sebagai contoh, oleh sebuah syarikat untuk menubuhkan amanah lebuh raya, meletakkan segalanya dalam amanah.

“Dengan berbuat demikian kadar tol kemungkinan dapat diturunkan tetapi buat masa sekarang ia masih sedang dibincangkan, kerana perkara ini sangat rumit dan kami perlu melalui butiran terperinci,” katanya semasa program Money Matters yang disiarkan di TV3, hari ini.

Antara lebuh raya utama di negara ini termasuklah Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) yang dimiliki UEM Group, Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah, Lebuh Raya Pantai Timur dan Lebuh Raya Kuala Lumpur Karak.  

Menurutnya lagi, dalam masa yang sama, kerajaan juga akan melihat semula terma perjanjian yang dipersetujui kerajaan terdahulu, membabitkan pengurangan kadar tol PLUS.

“Kajian itu kini dalam peringkat perbincangan dan dijangka siap enam bulan lagi. Saya tidak mahu berjanji untuk mengurangkan kadar tol.

“Apa yang sedang dilaksanakan kami adalah untuk melihat semula terma, untuk memastikan perjanjian terbaik bagi semua pihak berkepentingan, ini babitkan tujuh daripada 35 tol dan bagi yang lain kita akan kaji juga,” kata Mustapa.

Antara pemegang kepentingan terbesar konsesi lebuh raya di negara ini ialah Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sementara itu, seorang penganalisis ekuiti berkata langkah untuk meletakkan semua pemegang konsesi lebuh raya di bawah satu bumbung akan dapat menstabilkan harga tol bagi tempoh jangka panjang.  

“Bagaimanapun, kita perlu akui bahawa apabila semuanya berpusat, keuntungan yang diperoleh pemegang konsesi lebih raya juga akan berkurangan. Penjualan saham tertentu mungkin tidak dapat dielakkan, tetapi ia tidak akan lama kerana pemegang saham utama adalah pemain peranan utama,” katanya. 

Mengenai impak cadangan tersebut kepada rakyat, beliau berkata, langkah itu akan dapat mengurangkan beban pengguna yang kerap menggunakan lebuh raya terutamanya mereka yang berulang-alik bekerja setiap hari. 

“Pengguna lebuh raya mungkin dapat berjimat sedikit dalam tempoh jangka panjang, tetapi buat masa ini, kita perlu tunggu dan lihat berapa peratus penurunan yang mungkin dilaksanakan,” katanya. 

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo