Firma Perladangan Catat Keputusan Kewangan Memberangsangkan Bagi Suku Kedua 2020

KUALA LUMPUR, 29 Ogos - Suku Kedua tahun kewangan 2020 merupakan rahmat kepada syarikat perladangan apabila mereka melaporkan prestasi kewangan memberangsangkan berikutan harga minyak sawit mentah tinggi dalam keadaan pengeluaran rendah. 

Syarikat-syarikat ini melaporkan keputusan kewangan yang positif apabila negara-negara satu demi satu mula membukakan ekonomi masing-masing semasa tempoh April hingga Jun selepas beberapa bulan melaksanakan sekatan pergerakan disebabkan penularan pandemik COVID-19.

Ia membolehkan negara-negara terutamanya pembeli minyak sawit tradisional seperti China dan India mula menambahkan inventori mereka. 

Pada paras harga semasa RM2,519 setan metrik (purata), komoditi itu sangat dicari, seperti minyak sawit mentah (MSM) oleh India dan olein sawit oleh China.

Eksport ke India turun sebanyak 97 peratus kepada 10,806 tan metrik pada Mac apabila negara-negara mengenakan sekatan pergerakan, tetapi nilai eksport meningkat semula sebanyak 8.8 peratus kepada RM82.9 bilion pada Jun.

Di Bursa Malaysia, indeks perladangan turun sebanyak sembilan peratus setakat ini bagi tahun ini.  

“Bagaimanapun, indeks itu telah pulih sebanyak 25.8 peratus sejak 18 Mac, 2020, susulan pembukaan semula ekonomi dan begitu juga, harga saham syarikat perladangan utama seperti  IOI Corporation, Sime Darby Plantation dan Kuala Lumpur Kepong naik lebih daripada 20 peratus sejak mencatatkan paras terendahnya pada pertengahan Mac tahun ini,” kata Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim kepada Bernama.

Sementara itu, Jabatan Perangkaan berkata stok Julai 2020 susut sebanyak 10.7 peratus kepada 1.7 juta tan metrik, penurunan empat bulan berturut-turut sejak April 2020.

Penurunan itu disebabkan terutamanya permintaan eksport tinggi  (+4.2 peratus bulan ke bulan) dan pengeluaran rendah (- 4.1 peratus bulan ke bulan).

Prestasi Suku Kedua Syarikat Perladangan Utama

Dalam kalangan syarikat perladangan utama yang melaporkan keputusan kewangan mereka kepada Bursa Malaysia, Kuala Lumpur Kepong Bhd mencatatkan lonjakan keuntungan bersih kepada RM368.69 juta dalam suku ketiganya yang berakhir pada 30 Jun, 2020, berbanding RM48.61 juta pada tempoh yang sama tahun lepas, manakala hasil naik sedikit kepada RM3.71 bilion daripada RM3.70 bilion sebelum.

Mengulas mengenai keputusan itu, Kenanga Investment Bank Bhd, menerusi firma penyelidikannya (Kenanga Research) berkata ia percaya pengeluar minyak sawit ketiga terbesar negara itu akan mencatatkan peningkatan berturut-turut dalam suku keempat. 

Ini memandangkan harga MSM tinggi (+17 peratus suku ke suku) ditambah dengan jangkaan pengeluaran tandan buah segar (FBB) tinggi (+3.7 peratus suku ke suku) sebanyak 1.05 juta tan metrik. 

“Peningkatan itu, bagaimanapun, mungkin sebahagiannya akan dineutralkan oleh impak harga bahan mentah tinggi di bahagian hilirannya,” kata firma itu sambil menambah ia menyarankan “market perform” bagi saham berkenaan dengan harga sasaran RM23.10.

Keuntungan bersih United Plantation Bhd yang berpangkalan di Perak meningkat 63 peratus pada suku kedua yang berakhir 30 Jun, 2020 kepada RM123.59 juta, apabila kumpulan itu terus meningkatkan pengeluaran MSM dan isirung sawit dalam keadaan harga jualan yang bertambah baik berbanding tahun sebelumnya. 

Hasil meningkat kepada RM294.32 juta daripada RM270.53 juta sebelumnya, kata kumpulan perladangan sawit dan kelapa itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia bulan lepas.

Sime Darby Plantation Bhd (SDP) juga merekodkan peningkatan keuntungan bersih dalam suku kedua yang berakhir 30 Jun, 2020 kepada RM378.00 juta daripada RM27 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Hasil meningkat kepada RM3.21 bilion daripada RM2.86 bilion manakala pendapatan asas sesaham berada pada 5.50 sen daripada 0.40 sen, kata syarikat perladangan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Khamis.

Harga MSM tinggi itu juga membantu syarikat pertanian dan komoditi pertanian global yang berpangkalan di Malaysia FGV Holdings Bhd kembali meraih keuntungan.

Bagi suku keduanya, syarikat itu merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM20.55 juta berbanding kerugian bersih RM52.20 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya manakaal hasil meningkat sebanyak 0.5 peratus kepada RM3.29 bilion daripada RM3.28 bilion.

Pada masa depan, syarikat itu menjangkakan separuh tahun kedua yang kukuh bagi sektor perladangannya apabila pengeluaran FFB dan MSM dalam kesemua operasinya kembali normal selepas permulaan yang perlahan awal tahun ini.

Prospek Tidak Menentu

Meskipun beberapa penganalisis yakin dengan prestasi industri perladangan bagi tempoh berbaki 2020, susulan pelan perniagaan (huluan dan hiliran) syarikat-syarikat ini, namun ada sesetengahnya mengunjurkan masa depan yang agak tidak menentu dengan pengeluaran dijangka meningkat dan harga menjadi lebih rendah.

Firma penyelidikan menjangkakan syarikat-syarikat ini akan berdepan peningkatan inventori terutamanya apabila India dan China telah selesai dengan usaha menambah inventori mereka.

IOI Corp Bhd, yang mengumumkan keputusannya pada Selasa berkata, harga MSM meningkat daripada kira-kira RM2,100 setan metrik pada Mei kepada di atas paras RM2,700 setan metrik pada Ogos selepas bekalan stok turun ke paras terendah dalam tempoh tiga tahun pada Julai. 

Ia, bagaimanapun, memberi amaran harga komoditi mungkin menjadi lemah kemudiannya nanti daripada paras kukuh sekarang. 

"Pengeluaran tanaman sawit dijangka meningkat perlahan-lahan dari September hingga ke November tahun ini manakala permintaan dijangka berkurangan daripada aktiviti menyimpan stok di negara pengimport utama,” kata syarikat itu dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.  

Pada masa depan, simpanan stok dijangka meningkat manakala harga MSM mungkin kembali rendah berikutan jangkaan tempoh kemuncak pengeluaran yang akan datang yang boleh mengatasi jumlah penggunaan pada suku keempat 2020.

Kekurangan tenaga kerja, risiko negatif kepada industri perladangan

Ketika industri berdepan kekurangan 10 peratus atau 37,000 pekerja terutamanya untuk kerja menuai FBB, syarikat-syarikat bimbang ia mungkin akan menyebabkan pengurangan pengeluaran pada masa depan yang akan membawa kepada sumbangan rendah daripada sektor pertanian kepada keluaran dalam negara kasar.  

Kedua-dua kerajaan dan juga syarikat berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan impak tersebut dengan mencuba untuk mengambil tenaga kerja daripada warga tempatan. 

Bagaimanapun, inisiatif itu tidak mendapat sambutan positif kerana rakyat Malaysia terutamanya golongan muda menganggap pekerjaan ini sebagai kotor, bahaya dan sukar dengan gaji yang kurang menarik. 

Lembaga Minyak Sawit Malaysia mengesyorkan kepada kerajaan untuk menyediakan insentif tambahan kepada golongan muda untuk menyertai industri tersebut. 

Sime Darby Plantation berkata ia mula mengambil pekerja tempatan untuk bekerja dalam penanaman sawit walaupun kadar kejayaan usaha itu ‘tidak begitu baik’. 

Pengarah Urusannya Mohamad Helmy Othman Basha berkata syarikat itu berjaya mendapatkan antara 200 hingga 300 pekerja tempatan tetapi hanya kira-kira 10 orang yang sanggup untuk membuat kerja menuai buah manakala sebahagian besar yang lain memilih untuk melakukan kerja-kerja am.

Ketika ini, pekerja dari Indonesia dan Bangladesh menyumbang kira-kira 70 peratus daripada tenaga kerja industri perladangan tempatan.

Pandemik COVID-19 boleh menyebabkan industri minyak sawit Malaysia tidak mempunyai tenaga kerja yang mencukupi apabila pemain industri menjangka sebahagian daripada pekerja asingnya akan meninggalkan Malaysia terutamanya pekerja Indonesia sebaik sahaja perjalanan rentas sempadan dibenarkan.

Sebelum ini, apabila pekerja asing pulang ke negara masing-masing, akan ada pekerja baharu menggantikan mereka tetapi kali ini mungkin tidak ada lagi pekerja yang datang kerana kebanyakan negara masih menutup sempadan mereka. 



Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!
Previous Post Next Post