NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ilmu, Pembudayaan Dasari Penjagaan Keseimbangan Alam


Oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

Langit, bumi dan gunung-ganang adalah makhluk pertama yang ditawarkan oleh Allah SWT untuk memikul amanah sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi.

Namun, semua menolak kerana tidak sanggup untuk memikul amanah itu. Keadaan ini menggambarkan betapa berat dan besarnya amanah sebagai khalifah. Walaupun begitu, manusia sanggup untuk menerimanya.

Firman Allah SWT, "Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan." (Surah al-Ahzab, ayat 72)

Manusia menerima amanah ini dengan dua sifat tabii, iaitu zalim dan jahil. Sifat zalim bukan hanya dilakukan ke atas manusia dan makhluk lain, bahkan terhadap dirinya sendiri. Begitu juga sifat jahil. Ia merangkumi pelbagai bentuk kejahilan.

Susulan itu, Allah SWT mengutuskan Rasul untuk menuntun manusia ke arah kehidupan yang ditetapkan oleh Allah SWT. Sistem yang lengkap dan relevan sepanjang zaman.

Alam semesta dicipta berpaksikan keseimbangan. Bumi luas mendatar. Laut biru dan sungai mengalir. Bukit bukau teguh berdiri. Langit tinggi membiru. Matahari terbit bercahaya di sebelah timur. Malam gelap dihiasi bulan dan bintang. Planet berputar pada orbit. Semua berperanan mengikut ketetapan yang ditentukan oleh Maha Pencipta tanpa kekurangan walau sedikit pun.

Allah SWT memperihalkan keseimbangan (mizan) ini dalam firman-Nya yang mulia; "Dan langit dijadikannya (bumbung) tinggi, serta Dia mewujudkan undang-undang dan peraturan neraca keadilan." (Surah ar-Rahman, ayat 7)

Ayat ini sangat menarik untuk dikaji dan diteliti. Allah SWT menciptakan bumi sebagai tapak kemudian dijadikan langit sebagai bumbung. Laut melitupi lebih 70 peratus daratan. Ia berfungsi untuk memenuhi pelbagai sarana manusia seperti sumber makanan, jalan pengangkutan dan juga menyeimbangkan iklim.

Bukit bukau dan gunung-ganang pula berfungsi untuk menstabilkan bumi daripada gegaran dan gempa bumi. Indahnya ciptaan Allah SWT yang sangat unik, teratur dan harmoni.

Tanggungjawab manusia adalah untuk memelihara keseimbangan ciptaan Allah SWT agar tidak dirosakkan dan diganggu mengikut nafsu. Sekiranya ekosistem ini dirosakkan, maka akan hilang keseimbangan (mizan) sehingga boleh mengundang bencana.

Ia bertepatan dengan peringatan Allah SWT dalam firman-Nya yang mulia, "Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang." (Surah Ar-Rahman, ayat 9)

Cabaran utama yang perlu digalas oleh manusia ialah memelihara dan memulihara kestabilan alam. Bagaimanapun, dua sifat tabii manusia yang dinyatakan oleh Allah SWT, iaitu zalim dan jahil menjadi faktor utama kerosakan alam.

Sifat tamak haloba, rakus dan melampau merosakkan keseimbangan alam. Meskipun atas nama pembangunan, mereka mengabaikan aspek keseimbangan yang lebih penting.

Firman Allah SWT, "Telah berlaku kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut kerana dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." (Surah ar-Rum, ayat 41)

Projek menarah bukit, menambak laut, menebang pokok, membuang sisa ke dalam sungai dan laut, membakar sampah secara terbuka antara contoh kerosakan yang dilakukan oleh manusia.

Tindakan ini akan mencabut keseimbangan alam dan boleh menyebabkan banjir, tsunami, cuaca panas dan pencemaran. Akhirnya, manusia yang terpaksa menanggung akibat buruk yang dilakukan oleh tangan manusia sendiri.

Penjagaan terhadap keseimbangan alam perlu didasari dengan ilmu, kesedaran dan pembudayaan. Generasi cintakan alam perlu dilahirkan secara sistematik. Selain itu, pelbagai kajian yang dijalankan jika tiada kehendak kuat untuk dilaksanakan, maka hanya jadi hiasan.

 Banyak inovasi dan teknologi baharu perlu dibangunkan untuk tujuan pembangunan, tetapi mesti menjaga kelestarian alam.

Bagi Kementerian Alam Sekitar dan Air, dasar berkaitan akan terus disemak dan diperkukuh seperti Dasar Alam Sekitar 2002, Dasar Perubahan Iklim Negara 2009 dan Akta Alam Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Tindakan penguatkuasaan terus berjalan tanpa berkompromi terhadap penjenayah alam sekitar. Semua ini akan disinergikan secara strategik dengan kementerian dan agensi kerajaan yang lain.

Antara aspek lain yang perlu diperkasakan adalah penyertaan komuniti sama ada secara berpersatuan melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu.

Biarkan NGO lantang bersuara supaya alam akan terus dipelihara. Individu juga mesti mainkan peranan menyokong agenda pemeliharaan alam sekitar supaya kecaknaan lebih tinggi. Sekiranya semua pihak bekerjasama, maka alam sentiasa dibela.

Harga untuk mengecap keseimbangan dan kelestarian alam sangat mahal. Walaupun sukar, ia tidak mustahil. Mari kita sama-sama berusaha meletakkan agenda keseimbangan alam sebagai misi utama dalam menuju ke arah kemajuan negara.

Penulis adalah Menteri Alam Sekitar dan Air 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo