Guan Eng Mengaku Tidak Bersalah Isu Rasuah Projek Terowong Dasar Laut

Lim Guan Eng tiba di perkarangan mahkamah bagi pertuduhan rasuah projek terowong dasar laut. Gambar Harian Metro

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen KL atas tuduhan meminta suapan berhubung Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Jenayah 9 di hadapan Hakim Azura Alwi atas dakwaan di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Mengikut pertuduhan, Ahli Parlimen Bagan itu semasa menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang telah meminta suapan iaitu balasan berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak.

Suapan itu adalah sebagai upah bagi membantu syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Seksyen 16 (a) (A) dan Seksyen 23 Akta SPRM memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu sekali lagi akan didakwa pada 10 Ogos di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang di bawah akta yang sama.

Selain itu, Guan Eng juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang di bawah akta yang sama pada 11 Ogos ini bagi kes berlainan pula.

Pada Ahad 26 Julai lalu, Setiausaha Agung DAP itu hadir ke ibu pejabat SPRM untuk kali ketiga bagi memberi keterangan berhubung siasatan projek pembinaan terowong dasar laut yang bernilai RM6.3 bilion.

Beliau meninggalkan bangunan SPRM pada jam 7 malam ditemani Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer selepas lapan jam memberi keterangan.

Pada 7 Julai lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow hadir ke SPRM Pulau Pinang untuk memberi keterangan bagi projek berkenaan.

Pada 3 Julai, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya dalam fasa akhir menyiapkan terhadap siasatan projek itu.

Katanya, kertas siasatan dijangka lengkap dalam tempoh dua ke tiga minggu lagi sebelum diserahkan kepada timbalan pendakwa raya tindakan lanjut.

Projek terowong sepanjang 7.2 kilometer itu, yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai, adalah termasuk di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

PTMP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar. - AstroAwani

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post