NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Guan Eng Cabar Zuraida Dedah Surat KSU

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mencabar Zuraida Kamaruddin mendedahkan surat permohonan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 2018 untuk projek rundingan terus RM170.3 juta kepada Kementerian Kewangan.

Projek-projek yang dimaksudkan ialah Projek Sisa Pepejal Taman Beringin atau PSPTB (bernilai RM170,294,400.00) dan Sistem Perisian Perakaunan Century (bernilai RM501,206.37).

Guan Eng berkata, surat permohonan KPKT yang diterajui Zuraida itu ditulis oleh pegawai kanan yang berpangkat Ketua Setiausaha (KSU) memandangkan projek itu melibatkan jumlah yang besar.
 
”Zuraida tidak boleh menafi bahawa ada surat permohonan KPKT sedemikian. Saya mencabar beliau untuk mendedahkannya supaya rakyat boleh mengetahui kisah sebenar,” katanya.

Tegas bekas Menteri Kewangan itu, KSU KPKT tidak mungkin menulis surat rasmi pada tahun 2018 kepada Kementerian Kewangan tanpa pengetahuan atau restu menterinya, iaitu Zuraida.

Sekiranya benar permohonan dibuat tanpa pengetahuan Zuraida, KSU boleh dikenakan tindakan disiplin.

”Saya tidak percaya bahawa KSU KPKT ialah seorang yang sanggup bertindak “khianat” sedemikian walaupun terhadap seorang menteri “pengkhianat” PH. Ataupun Zuraida begitu jahil tentang perihal Kementeriannya sehingga tidak tahu KSU telah membuat permohonan RT kepada MOF.

”Sekiranya ini benar, maka Zuraida memang tidak layak “not fit and proper”, untuk memegang jawatan Menteri,” ujarnya.

Semalam Zuraida mendedahkan dua projek runding terus di kementeriannya memang diluluskan oleh Guan Eng selaku Menteri Kewangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

“Semalam, saya sudah katakan saya akan siasat dakwaan dibuat pemimpin PH bahawa dua projek diluluskan menerusi rundingan terus dalam KPKT. Seperti yang dijanji, saya sudah siasat dan mengumumkan apa yang sudah ditemui.

Saya boleh mengesahkan bahawa rundingan terus ini dilaksanakan oleh bekas menteri kewangan sendiri iaitu Lim Guan Eng,” katanya.

Zuraida menambah, Penasihat Syarikat Bumi Segar Indah ialah Tamrin Tun Ghaffar yang juga penyokong PH.

Katanya, pada pertemuan 26 November 2018, Guan Eng bukan haja membincangkan rundingan semula projek itu bersama Tamrin tetapi juga bersetuju mengurangkan kos yuran pemberian 10 peratus lebih sedikit daripada kos asal kononnya dapat menjimatkan wang untuk kerajaan.

Guan Eng kemudian menasihati Bumi Segar Indah untuk berhubung dengan KPKT untuk membentangkan dan susulan dengan cadangan rasmi.

Mengulas kenyataan itu, Guan Eng menyifatkan Zuraida berpaling tadah dan menyalahkannya pula.

“… kononnya sayalah yang meluluskan PSPTB pada 20 Februari 2019 sebanyak RM170.3 juta tanpa pengetahuannya. Ini perkara yang mustahil. Saya ingin tegaskan bahawa amalan biasa ialah kementerian yang bertanggungjawab akan memohon kepada Kementerian Kewangan untuk projek RT dijalankan. Justeru, semestinya akan ada surat daripada KPKT kepada Kementerian Kewangan.

”Sila dedahkan juga surat kepada KPKT daripada Kementerian Kewangan atau daripada saya, kalau ada. Saya berharap Zuraida boleh mendedahkan surat-surat yang berkaitan agar rakyat dapat menilai sendiri kebenarannya. Janganlah sorok-sorok, sembunyikan fakta, menutup kebenaran atau lari daripada hakikat sebenarnya. MalaysiaGazette

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo