NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

COVID-19: Satu kematian, enam kes baharu dicatat hari Ini

KUALA LUMPUR, 31 Ogos -- Selepas merekodkan satu kematian semalam, COVID-19 meragut satu lagi nyawa hari ini, menjadikan jumlah kematian dalam negara akibat pandemik meningkat kepada 127 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kematian terbaharu itu melibatkan lelaki warganegara berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis serta darah tinggi.

“Beliau merupakan salah satu kes positif yang telah dilaporkan pada 13 Ogos lepas dalam kluster Tawar. Beliau mula mengalami gejala batuk sejak 11 Ogos dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah pada 13 Ogos setelah didapati positif COVID-19.

“Keadaan kesihatan beliau merosot dan memerlukan bantuan pernafasan sejak 19 Ogos. Beliau disahkan meninggal dunia pada 30 Ogos, pukul 10.35 malam. Kementerian Kesihatan Malaysia mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata enam kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan kumulatif kes positif di Malaysia adalah sebanyak 9,340 kes.

Daripada enam kes baharu yang dilaporkan, empat kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara iaitu Singapura, melibatkan dua warganegara dan dua bukan warganegara yang dilaporkan di Selangor. 

Sementara dua kes lagi melibatkan penularan di dalam negara membabitkan warganegara dari Kedah iaitu satu kes daripada kluster Tawar dan satu kes daripada kluster Telaga. 

“KKM ingin memaklumkan bahawa terdapat enam kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini menjadikan kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 9,054 kes.

“Sementara itu, terdapat enam kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana empat kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo