PETALING JAYA: Dua belas bahagian Umno di Sabah membantah pelantikan Bung Moktar Radin sebagai pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi Barisan Nasional (BN) seperti diumumkan Ahmad Zahid Hamidi.
Ketua Umno Tuaran Abdul Rahman Dahlan yang mengetuai 12 ketua Umno dari Sabah berkata, pengumuman presiden UMNO itu melanggar semangat autonomi diberikan kepada Umno Sabah untuk menentukan hala tuju sendiri.
Katanya, tindakan memilih Bung Moktar yang berdepan tuduhan mahkamah adalah penghinaan kepada Umno Sabah dan seperti memberi peluru kepada pihak lawan sedangkan BN berpeluang besar memenangi pilihan raya itu disebabkan kelemahan parti Warisan.
“Keputusan melantik Bung Moktar tidak dirunding. Kami berpendapat ini langgar semangat autonomi Sabah yang diumumkan pada tahun lepas.
“Kami mahu diberi kebebasan kepada kami tanpa campur tangan Umno pusat. Kami berpandangan yang menjadi ketua jentera Umno Sabah mesti bebas dari perspektif negatif yang boleh dipersoalkan pihak lawan serta tidak mempunyai masalah peribadi yang boleh menjejaskan jentera parti.
“Saya yakin jumlah (ketua Umno di Sabah) yang tolak akan bertambah selepas sidang media malam ini,” katanya pada sidang media malam ini.
Rahman yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, kumpulan itu sudah cuba untuk bertemu Zahid di Kuala Lumpur, namun beliau tidak memberi maklum balas sehingga kini.
“Kita berharap dapat bertemunya dan percaya beliau sebagai orang lama dalam politik tahu untuk bertindak selepas mendengar isi kandungan sidang media ini,” katanya.
Ditanya siapa calon layak untuk mengetuai jentera pilihan raya BN di Sabah, beliau berkata Umno Sabah mempunyai ramai pemimpin yang berkelayakan dan mampu membawa kemenangan untuk menewaskan kerajaan Sabah dipimpin Warisan.
“Kita telah bercakap dengan Musa Aman dan beliau menolak untuk jadi ketua jentera. Kami akan bincangkan perkara ini dengan lebih lanjut dan percaya ramai pemimpin Umno Sabah berkaliber untuk menggantikannya (Bung Moktar),” katanya.
Terdahulu, Zahid mengumumkan pelantikan Bung yang juga Ketua Umno Sabah mengetuai jentera parti itu menghadapi PRN pada 26 September ini.
PRN kali ini menyaksikan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pada 30 Julai lalu ketua menteri Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberi laluan kepada PRN selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin.
Pembubaran DUN Sabah itu susulan dakwaan Musa mempunyai majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu. - FMT
No comments
Post a Comment