NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Asap debu letusan Sinabung dijangka masuk ruang udara negara malam ini

KUALA LUMPUR: Asap debu daripada gunung berapi Sinabung di Sumatera, Indonesia, yang meletus pada jam 11.37 pagi tadi, dijangka memasuki ruang udara negara di utara Selat Melaka dan negeri di utara serta timur Semenanjung, bermula malam ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon, berkata asap debu itu antara lain akan memasuki ruang udara Perak, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

"Keadaan ini (asap debu) boleh menjejaskan operasi penerbangan pada paras 1,500 hingga 5,000 meter," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana ia dijangka tidak menjejaskan kualiti udara negara.

Perkara itu adalah berdasarkan model trajektori HYSPLIT yang dijana MetMalaysia dan ramalan daripada Pusat Amaran Debu Gunung Berapi Serantau (VAAC) Darwin, Australia.

Selain itu, Jailan memaklumkan, tiada kesan gempa bumi dan tsunami dijangka melanda negara akibat letusan gunung berapi berkenaan.

Beliau berkata, keadaan semasa Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negara juga menunjukkan kualiti udara yang biasa, iaitu pada kadar baik dan sederhana.

Namun, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa peka dengan maklumat dikeluarkan MetMalaysia melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial. – BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo