NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Agihan kerusi antara PN sudah lebih 50% selesai - Hadi Awang


PETALING JAYA: Lebih 50% pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang sudah dibuat.

Memetik laporan Sinar Harian Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, setakat ini pembahagian di beberapa negeri sudah selesai dan bakinya akan dibuat secara berperingkat.

“Kita tidak ada tarikh lagi (bila akan selesai), kita tetapkan peringkat demi peringkat dan kini prosesnya sudah lebih 50%.

“Calon dan kawasan belum pasti kerana kita mahu pastikan akan menang seberapa banyak kerusi,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah berkata, PN yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), PPBM dan PAS bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika ia diadakan secara mengejut pada bila-bila masa.

Beliau berkata, bagi meneguhkan kerajaan PN mandat harus diberikan secara langsung kepada rakyat dan Muhyiddin Yassin dipilih sebagai calon perdana menteri berdasarkan prestasi, kaji selidik serta tindak balas rakyat.

“Kita bersedia (hadapi PRU) bila-bila masa. Perlu mendapat mandat secara langsung daripada rakyat, sekarang ini kita dapat mandat daripada wakil rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, ahli Parlimen Marang itu berkata penggunaan logo parti pada PRU15 belum dibincangkan dan ia akan ditetapkan selepas mendapat persetujuan PN berdasarkan Muafakat Nasional.

Sebelum ini, Pemuda Umno mencadangkan logo BN digunakan sebagai lambang rasmi pada pilihan raya umum akan datang.

Ketuanya Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan itu turut dipanjangkan kepada parti yang bukan komponen BN secara rasmi iaitu PAS dan PPBM. - FMT

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo