Tony Pua patut malu berkawan dengan banduan

KUALA LUMPUR – Tony Pua sepatutnya merasa malu kerana berkawan dengan seseorang yang sudah dihukum oleh mahkamah sebanyak dua kali, kata Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata, tuduhan Ahli Parlimen Damansara dari DAP itu terhadap beberapa pemimpin Pas berkunjung ke rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak malam kelmarin, ibarat kata dulang paku serpih, kata orang dia yang lebih.

“Saya tidak mahu mengulas sangat mengenai politik tetapi apabila Tony Pua secara kurang ajar melabelkan Tok Guru (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dan pimpinan Pas berkawan dengan penjenayah dan memalukan, saya ingin peringatkan dia, yang juga berkawan dengan seseorang yang sudah dihukum oleh mahkamah sebanyak dua kali dan telah dipenjarakan dua kali kemudian diberi pengampunan dan sekarang menjadi Ahli Parlimen dan rakan sekutu kuat Tony Pua and the gang.

“Kalau guna neraca yang sama, Tony Pua tak rasa malu ke? Atau dia akan jawab, itu pendakwaan dan jenayah politik!.

“Untuk rekod, Pas sebagai rakan, tetap memberi sokongan moral kepada beliau (Najib) sepanjang tempoh hukuman,” katanya yang dipetik dari hantaran Facebooknya, semalam.

Tony Pua dalam hantaran Facebooknya menulis, ini dia, persahabatan karib antara penjenayah terbesar negara (dan terkenal antarabangsa), Najib dengan pemimpin-pemimpin parti berdasarkan agama. Kononnya parti ini menegakkan keadilan, akhlak dan alim. Langsung tak malu.

“Apakah mesej yang nak disampaikan kepada rakyat Malaysia, terutamanya anak muda kita? Bahawa, salahguna kuasa, pcah amanah, pengubahan wang haram dan rasuah adalah semua OK?,” kata bekas Pengerusi DAP Selangor itu merujuk kunjung Abdul Hadi dan beberapa pemimpin Pas ke rumah Najib.

Pemimpin Pas itu hadir memberi sokongan kepada Najib di kediamannya selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan guna kuasa.

Pemimpin Pas yang hadir itu termasuk Abdul Hadi dan Timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man selain Dr. Mohd Khairuddin dan Setiausaha Pas Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan.

Menurut Dr. Mohd Khairuddin yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, pimpinan Pas tetap memberikan sokongan moral kepada Najib untuk mendapatkan pengadilan di mahkamah seterusnya sebagaimana diperuntukkan oleh undang-undang. – MalaysiaGazette
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post