Najib: Muafakat Umno-PAS boleh dapat lebih 95% undi di Chini


Ketua Umno Bahagian Pekan, Najib Razak menyatakan keyakinan beliau bahawa kerjasama parti itu dengan PAS melalui Muafakat Nasional boleh meraih lebih 95 peratus undi pada pilihan raya kecil Chini yang akan datang.

"Kita memang berazam untuk menang dengan majoriti tambahan. Sebab situasi hari ini berbeza, tambah lagi kita ada Muafakat Nasional dan kita jadi anggota kerajaan Perikatan Nasional.

"Kita bertanding atas tiket satu parti yang menjadi sebahagian daripada kerajaan. Sudah tentu kita letakkan sasaran lebih tinggi, kalau boleh," katanya malam tadi.

Pada wawancara bersama Media Pahang, bekas perdana menteri berkata ini kerana BN dan PAS, yang telah bertanding secara berasingan semasa pilihan raya umum ke-14 lalu, secara keseluruhan memperoleh sekitar 95 peratus undi untuk kerusi DUN di bawah parlimen Pekan.

Pada PRU lalu, Allahyarham Abu Bakar Harun, yang mewakili Umno, memperoleh 10,027 undi dan menang dengan majoriti 4,622 ke atas PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang mendapat 5,405 undi.

"Berdasarkan keputusan PRU14. Jika kita cantumkan undi BN masa itu dan undi PAS sudah menghampiri 95 peratus. Calon PKR cuma dapat dalam lingkungan 5 peratus (undi).

"Sekiranya setiap pengundi yang mengundi calon Umno dan PAS betul-betul komited pada Muafakat Nasional bererti bahawa kita telah mencapai 95 peratus

"Itu atas kertas, tapi realitinya kita akan cuba menghampiri sasaran tersebut," kata MP Pekan.

Antara lain, beliau berkata keputusan akhir akan ditentukan oleh faktor-faktor termasuklah pengundi luar yang kembali mengundi pada PRU14 sekali lagi akan kembali untuk pilihan raya kecil yang akan berlangsung pada 4 Julai.

Mengenai profil pengundi, Najib berkata peneroka Felda generasi pertama dan kedua terdiri daripada kumpulan terbesar pada 82 peratus, menakala belia di bawah 40 tahun merangkumi 56 peratus.

Terdapat juga penduduk kampung tradisional dan penduduk Orang Asli tempatan, tambahnya.


Dalam wawancara itu, Najib tidak menyentuh mengenai isu calon MN atau PN, walaupun selama beberapa minggu terdapat spekulasi anak sulungnya, Mohd Nizar (gambar, atas) bakal diletakkan sebagai calon.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman sebelum ini berkata beliau yakin Nizar, yang juga ketua Pemuda Umno Pekan, layak dicalonkan pada PRK Chini berdasarkan kemahiran kepemimpinan dan sokongan akar umbi.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil pada 6 Jun lalu memberitahu Malaysiakini bahawa PH tidak akan meletakkan calon di Chini.

Najib ketika diwawancara malam tadi bagaimanapun menyatakan kesediaan PN untuk pelbagai kemungkinan pada hari penamaan calon 20 Jun nanti, termasuk akan menghadapi calon bebas.

Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah dan Setiausaha Agung Kelab Veteran Umno, Mustapha Yaakub adalah antara mereka yang menggesa PH untuk memberi laluan kepada PN.

PN kini menguasai 33 daripada 42 kerusi di DUN Pahang. Umno mempunyai 24 kerusi, PAS mempunyai lapan dan MCA mempunyai satu kerusi DUN. Gabungan PH pula menguasai sembilan kerusi melalui (tujuh Adun) DAP dan (dua Adun) PKR.

Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post