Memperingati Pembunuhan Kejam Umat Islam Bosnia – Herzegovina.


Beberapa hari lalu, umat Islam di Bosnia Herzegovina berhimpun bagi memperingati peristiwa berdarah pembunuhan kejam beramai-ramai umat Islam Bosnia yang berlaku 25 tahun lalu, di kenali sebagai “Srebrenica Massacre“ oleh tentera Serbia yang di adakan di bandar Srebrenica, Bosnia Herzegovina.

Bagaimanapun perhimpunan tahun ini diadakan dalam keadaan sederhana akibat daripada penularan wabak pandemik Covid-19 dan tidak sebagaimana tahun lalu yang dihadiri oleh ribuan umat Islam termasuk Presiden Turki, Recep Tayyep Edrogan yang mendapat liputan meluas dari media seluruh dunia.

Peristiwa ini masih memberi kesan yang sangat mendalam kepada umat Islam Bosnia Herzegovina dimana ia turut membuktikan umat Islam menjadi mangsa keganasan etnik dan agama di Eropah hingga dibunuh. Malah saat ini, sentimen kebencian agama terutamanya tehadap Islam masih berlaku di Eropah dan umat Islam sering menjadi sasaran kebencian serta menjadi mangsa kekejaman.

Peristiwa yang berlaku pada Julai 1995 menjadi titik hitam kepada umat Islam Bosnia Herzegovina apabila tentera Serbia mengepung bandar Srebrenica dan melakukan pembunuhan kejam beramai-beramai tanpa rasa belas kasihan dan ihsan.

Tidak kurang daripada 8,000 umat Islam Bosnia yang dibunuh dengan kejam yang mana kebanyakannya adalah dari kalangan lelaki dewasa dan remaja. Setelah dibunuh, mereka ditanam beramai-ramai dalam kubur yang besar di pinggir bandar Srebrenica, Bosnia Herzegovina.

Seramai 8,373 orang disenaraikan hilang oleh Bosnian Federal Commission Of Missing Person akibat daripada peristiwa “Srebrenica Massacre“. Ia turut mencatat sejarah sebagai pembunuhan terbesar beramai – ramai di Eropah selepas perang dunia kedua.

Pada Julai 2012, 6,838 mangsa dikenal pasti melalui ujian DNA daripada rangka manusia yang diperolehi setelah dilakukan semula penggalian kubur di mana kesemua mangsa di tanam beramai-ramai setelah dibunuh dengan kejam tanpa belas kasihan.

Daripada jumlah tersebut, hanya 6,066 mangsa dikebumikan semula di Memorial Center of Potocari, Srebrenica, Bosnia Herzegovina. Masih terdapat ramai lagi mangsa yang tidak ditemui hingga ke hari ini yang mana ia telah diisytiharkan sebagai hilang mahupun terbunuh.

Pembunuhan terancang secara beramai-ramai ini dipimpin oleh Ratko Mladic, seorang jeneral tentera Serbia kejam yang memimpin salah satu unit khas tentera Serbia, Army of Republika Srpska (VSR) ketika perang Yugoslavia dari tahun 1991 hingga 2001.

Ratko Maldic pula berada di bawah pengaruh kuat Slobodan Milosevic yang menjadi Presiden Serbia dari tahun 1989 hingga 1997 seterusnya menjadi Presiden Yugoslavia dari tahun 1997 hingga 2000.

Konflik Bosnia bermula pada tahun 1991 ketika era keruntuhan Komunisma di Yugoslavia apabila satu referendum telah diadakan untuk menuntut pemisahan Bosnia Herzegovina daripada Yugoslavia dan menjadi sebuah negara yang merdeka.

Wilayah Bosnia Herzegovina pada ketika itu dihuni 44 peratus Muslim Bosnia, 31 peratus Orthodok Serbia dan 17 peratus Katolik Croatia. Pada 29 Februari 1992, referendum tersebut disokong dan diluluskan serta diterima oleh masyarakat antarabangsa.

Bagaimanapun keputusan referendum tersebut dibantah oleh puak Serb Bosnia yang memboikot referendum tersebut dan disokong oleh negara Serbia pimpinan Slobodan Milosevic.

Akibatnya, tentera Serbia pimpinan Radovan Karadzic bertindak menyerang Bosnia Herzegovina dengan alasan untuk mengelak bumi Yugoslavia daripada berpecah, walhal sebab sebenarnya ialah untuk menghalang umat Islam Bosnia daripada merdeka dan dendam lama mereka terhadap Islam khususnya sejak era pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah.

Pembunuhan beramai-ramai umat Islam Bosnia di Srebrenica, Bosnia Herzegovina menjadi titik penting kerana akibat daripada peristiwa tersebut, ia menggerakkan masyarakat antarabangsa untuk bertindak dengan agresif terhadap kekejaman tentera Serbia terhadap Umat Islam Bosnia.

Akibat desakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa, pada 18 Mac 1994, satu perjanjian damai yang dikenali sebagai Washington Agreement telah ditandatangani dan akhirnya Bosnia Herzegovina telah menjadi sebuah negara yang merdeka.

Namun tentera Serbia terus menyerang Bosnia Herzegovina walaupun telah menandatangani perjanjian damai dan wujudnya Bosnia Herzegovina sebagai sebuah negara merdeka.

Akhirnya pada tahun 1995, NATO telah melancarkan Operation Deliberate Force dengan menyerang kedudukan tentera Serbia di wilayah yang bergolak di mana akhirnya tindakan tersebut telah menamatkan peperangan yang berlarutan sejak sekian lama.

Pada 21 November 1995, satu rundingan damai telah diadakan di Dayton, Ohio, Amerika Syarikat di antara Bosnia Herzegovina dan Serbia dan pada 14 Disember 1995, satu perjanjian damai telah ditandatangani di Paris, Perancis yang mana telah mengakhiri dan menamatkan perang saudara yang berlangsung lebih 5 tahun yang telah mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa dan harta benda.

Konflik yang berlarutan lebih 5 tahun ini telah mengorbankan hampir 250,000 rakyat Bosnia Herzegovina yang tidak berdosa di seluruh Bosnia Herzegovina yang majoritinya adalah umat Islam.

Setelah tamat perang tersebut, banyak pihak menyalahkan kuasa-kuasa besar khususnya Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah kerana lambat bertindak walaupun mempunyai kuasa untuk mengelakkan konflik tersebut daripada berlaku yang mengakibatkan pertumpahan darah dan korban yang cukup besar di kalangan orang awam terutamanya kanak-kanak, wanita dan warga emas.

Pada tahun 2008, International Criminal Tribunal for Former Yugoslavia ( ICTY) di bawah seliaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ( PBB ) telah mendakwa seramai 45 orang Serbia, 12 orang Croatia dan 4 orang Bosnia di atas jenayah perang, dibicarakan, didapati bersalah dan dihukum.

Slobodan Milosevic, Ratko Mladic dan Radovan Karadzic ditangkap, dibicarakan serta didapati bersalah di atas jenayah perang samada oleh ICTY mahupun International Court of Justice (ICJ). Kesemua mereka dihukum penjara seumur hidup kecuali Slobodan Milosevic yang mati di dalam tahanan ketika masih dalam perbicaraan.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut bersama dalam menyumbang tenaga ketika berlakunya krisis tersebut. ATM menghantar anggotanya berkhidmat di bawah panji PBB untuk misi keamanan selama beberapa tahun sehingga berakhirnya krisis tersebut.

Kerajaan Malaysia ketika itu di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohammad turut sama membantu Bosnia Herzegovina dalam membina semula negara mereka samada dari segi infrastruktur mahupun ekonomi. Malah Tun Dr. Mahathir juga turut menggesa OIC turut sama membantu Bosnia Herzegovina agar mampu bangkit dari kemusnahan akibat peperangan.

Walaupun peristiwa ini sudah 25 tahun berlalu tetapi ia tetap menjadi sejarah hitam yang tidak dapat dilupakan oleh umat Islam di seluruh pelusuk dunia. Umat Islam ditindas dan dibunuh di tanah air mereka sendiri.

Sekarang ini kita lihat apa yang berlaku di Palestin, Syria, Yemen, Afghanistan dan Uighur, China adalah sama seperti apa yang berlaku di Bosnia Herzegovina dahulu. Jangan kita biarkan peristiwa sama berulang kembali dengan hanya melihat dan membiarkan ianya berlaku.

Bangsa dan agama lain mampu hidup aman dan damai di bawah pemerintahan Islam sejak zaman dahulu lagi namun umat Islam belum tentu hidup aman dan damai bawah pemerintahan bangsa dan agama lain walaupun di tanah air sendiri.

***YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi ialah Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat merangkap ADUN Batu Buruk.
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post