NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mana Laporan Tahunan TH diaudit?



RAKYAT seperti dikejutkan dengan pendedahan yang dibuat oleh YB Datuk Seri Ahmad Maslan pada 14 Julai 2020 bahawa Lembaga Tabung Haji (TH) gagal membentangkan Laporan Tahunan diaudit tahun 2018 dan 2019.

Klip ucapan perbahasan Usul Menjunjung Titah Diraja beliau kini sudah tular di media sosial dan membuka banyak persoalan yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan.

Menurut Ahli Parlimen Pontian itu, kegagalan TH untuk berbuat demikian telah melanggar peruntukan Seksyen 5,6,7,8 dan 9 Akta Badan Berkanun (Akaun dan Laporan Tahunan) (Akta 240) malah bercanggah dengan peruntukan Seksyen 26 Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) sendiri.

TH adalah institusi penting bagi umat Islam dan sehingga kini mempunyai lebih 9.4 juta pendeposit dengan jumlah deposit sebanyak RM73.9 billion sehingga 30 Jun 2020.

Sejak Pakatan Harapan mengambil alih Kerajaan Persekutuan dan TH selepas PRU-14 pada Mei 2018 yang lepas, institusi penting ini sering dijadikan modal politik untuk merosakkan imej pengurusan lama dan Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Namun begitu, perlu ditegaskan oleh penulis bahawa TH tidak pernah gagal memuktamadkan Laporan Tahun yang diaudit dan disahkan oleh Ketua Audit Negara (KAN) malah dibentangkan di Parlimen sepanjang BN memerintah Kerajaan Persekutuan.

Keperluan untuk melaksanakan tanggungjawab undang-undang ini amat penting bagi pengagihan hibah kepada pendeposit TH. Ini selaras dengan peruntukan Seksyen 22 (3) Akta Tabung Haji akan keperluan untuk memastikan nilai aset melebihi nilai liabiliti tahun berkenaan dan ia boleh dipastikan melalui Laporan Tahunan yang telah diaudit dan disahkan oleh Ketua Audit Negara.

Perkara ini penting untuk dijawab kerana masih segar di ingatan penulis akan tindakan pertama YB Mujahid ketika mengambilalih kawal selia TH adalah mengumumkan bahawa hibah yang diagihkan tahun-tahun sebelum ini iaitu di era BN adalah haram kerana tidak mematuhi Akta TH.

Penulis tidak mahu berhujah panjang mengenai perbezaan kaedah metodologi perakaunan yang digunapakai juruaudit luar Ernst & Young (EY) dan Pricewaterhouse Cooper (PWC) untuk membuat penilaian aset-aset TH khususnya saham-saham senaraian awam yang dipegang oleh TH.

Tuduhan YB Muhajid Yusof berkenaan hibah haram itu seperti menolak sijil pematuhan audit yang dikeluarkan oleh Ketua Audit Negara dan Parlimen yang menerima Laporan Tahunan berkenaan.

Haram

Sehubungan itu, mantan Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Muhahid Yusof dan Pengurusan TH perlu menjelaskan bagaimana pula TH boleh mengumumkan hibah tahun 2018 sebanyak 1.25 peratus pada 5 April 2019 dan hibah tahun 2019 sebanyak 3.05 peratus pada 13 Mac 2020 sedangkan tiada Laporan Tahunan yang diaudit dikeluarkan.

Apakah juruaudit luar dan Ketua Audit Negara telah mengeluarkan sijil pematuhan audit kepada TH dan membolehkan hibah diagih kepada pendeposit TH? Bukankah perkara ini juga boleh membuatkan hibah yang diagihkan itu sebagai haram?

Selain itu, penulis juga telah menzahirkan kebimbangan akan aset-aset TH yang ‘dijual’ kepada Urusharta Jemaah Sdn Bhd (USJB), sebuah anak syarikat 100% milik Kementerian Kewangan.

Merujuk kepada Pelan Pemulihan TH pada tahun 2019 yang sangat dibanggakan oleh YB Mujahid Yusof, TH akan menerima 2 siri sukuk bernilai RM19.6 billion dan RM300 juta tunai dari UJSB. Malah Perjanjian di antara TH dan UJSB ada menyebut mengenai Jaminan Kerajaan (Government Guarantee) dari Kementerian Kewangan.

Ketiadaan laporan tahunan TH yang diaudit bagi kedua-dua tahun 2018 dan 2019 menyukarkan pendeposit, pelabur dan rakyat khususnya Umat Islam untuk menentu-sahkan bahawa sukuk-sukuk dan tunai UJSB telah dimasukkan ke dalam buku akaun TH bagi pengiraan jumlah aset dan liabiliti TH.

Sudah nyata pihak pengurusan TH kini telah melanggar akta-akta berkaitan dan banyak persoalan yang dibangkitkan oleh penulis sejak awal hinggalah kini masih belum terjawab.

Penulis tetap tegas dan konsisten dengan pendirian untuk sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi mengembalikan keyakinan umat Islam kepada institusi induk pembinaan kekayaan umat Islam utama di negara ini.

*Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo