NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Almarhum Ustaz Jais Anuar Dalam Kenangan Kolektif Kita.


Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor.

Tokoh ini berjasa besar dalam perjuangan Islam terutama menggerakkan kepemudaan dalam dekad 1960an dan awal 70an. Almarhum Ustaz Jais Anuar dilahirkan di Bagan Dato, Perak pada tahun 1941 dan mendapat pendidikan rendah di Bagan Dato, sebuah daerah yang melahirkan ramai pimpinan PAS seperti Ustaz Hasan Adli, Ustaz Jamaluddin Amini, Ustaz Misbahul Munir dan lain-lain.

Ustaz Jais mempunyai bakat kepimpinan semenjak zaman remaja, aktif dengan Kesatuan Pelajar Perak. Almarhum bersekolah menengah di Maktab Mahmud Kedah, sebuah sekolah agama tersohor di negeri jelapang padi itu. Di sinilah beliau terdedah dengan pemikiran Ikhwanul Muslimin kerana mengikuti usrah dengan seorang tokoh Ikhwan, Sheikh Taqiuddin Qandil. Kumpulan usrah itu adalah kumpulan usrah Ikhwan Muslimin yang pertama di Tanah Melayu dalam dekad 50an. Sheikh Taqiuddin adalah pelarian politik daripada Mesir, saat regim Gamal Naseer sedang mengganasi gerakan Ikhwan Muslimin, beliau mengajar di Maktab Mahmud dan juga Madrasah Alawiyyah Perlis.

Ustaz Jais melanjutkan pelajaran ke Universiti al Azhar pada tahun 1960 dalam bidang Syariah, bermukim di Ardhul Kinanah memberikan beliau peluang untuk mengasah bakat kepimpinan bersama persatuan pelajar. Almarhum juga bersama asuhan Ikhwanul Muslimin, juga aktif dalam kerja kebajikan membantu pelajar yang lain termasuk membekalkan borang-borang PAS kepada kepada pelajar Malaysia. Beliau pulang ke Malaysia pada tahun 1965 dengan pengalaman berorganisasi menyebabkan beliau diberi peluang memajukan PAS.

Almarhum menjadi petugas sepenuh masa PAS, juga aktif menulis untuk Majalah " Bulan Bintang" milik PAS, mencerahkan ahli-ahli dan masyarakat tentang konsep perjuangan Islam. Dekad 1960an, fahaman Sosialis dan nasionalis Melayu agak menebal termasuk anak-anak kampus lebih teruja dengan fahaman sosialis.

Penulis teringat momen-momen indah semasa mengunjungi almarhum dalam bulan Disember 2008 dipinggir Kota London. Teruja untuk bertemu dengan sosok yang sentiasa nama meniti dibibir pimpinan PAS dan aktivis pelajar Islam Eropah. Apatah lagi almarhum Ustaz Jais Anuar, mantan Ketua Pemuda PAS Pusat, mantan calon PRU 1969 bagi Parlimen Besut Terengganu.

Beliau semasa kunjungan kami membahasakan dirinya "bapak" kelihatan guratan wajahnya sangat ceria walaupun kondisi kesihatannya sudah pun uzur. Bapak menyambung pendidikan peringkat PhD di UK pada tahun 1970 dan banyak dibantu oleh Presiden PAS yang juga bapa mertuanya. Jiwa sebagai pendakwah dalam relung hatinya begitu mewangi, beliau berlanglangbuana keseluruh tanah bekas penjajah itu, menyampaikan ilmu-ilmu Islam terutama kepada rakyat Malaysia yang beemukim di sana.

Almarhum tidak sempat menghabiskan ijazah PhD namun jasa beliau membantu pelajar-pelajar Malaysia begitu sekali lumayan, terlibat dengan perniagaan satay di kota London. Ramai pelajar Malaysia menjadi pekerja sambilan perniagaan almarhum untuk mencari duit belanja, antaranya, Dato Dr Mahfuz Mohamad (mantan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat), Dato Seri Azizan Razak (mantan MB Kedah) dan lain -lain tokoh.

Potret jasa perjuangannya dalam kaderisasi dakwah begitu sekali indah, semenjak di bangku sekolah, disambung usaha tajnid di kampus al Azhar, pulang ke tanah watan untuk mewakafkan diri dalam perjuangan. Mengembangkan pemikiran Ikhwanul Muslimin dalam perjuangan Islam negara ini. Almarhum juga adalah insan yang mengingatkan Ayah Chik agar mendekati Ikhwanul Muslimin bila mendapat peluang belajar di Universiti Madinah.

Sengatan cuaca sejuk salju kota London mencair dengan kehangatan kisah-kisah heroik pemuda PAS era bapak menggelegak darah muda. Almarhum mengisahkan pengalaman berjuang dalam era jerih payah 60an di era pemuda tahan lasak UMNO. Pimpinan PAS memutuskan kepada beliau untuk bertanding di Parlimen Besut, daerah bertetak bertakir yang pernah diwakili oleh almarhum Dr Burhanuddin al Helmi dalam Pilihanraya Umum 1959. Daerah agrarian yang digelar juga daerah kalah judi itu sangat masyhur dengan pergaduhan politik , agak terpuruk dihujung Terengganu. Ustaz Jais tewas kepada pencabarnya daripada UMNO/ PERIKATAN, namun sangat sengit apabila PAS Terengganu menang 11 kerusi DUN manakala UMNO telah memenangi 13 kerusi DUN Terengganu.

Ustaz Jais yang juga menantu kepada Dato Asri Muda ( Presiden PAS) telah dilantik sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat di Perlis pada tahun 1968. Bapak bercerita, pemuda PAS era itu bermuktamar di Surau, ada perwakilan berbahas sehingga memecat baju, hangat namun ukhuwwah mereka setempayan emas. Tiada istilah mundur dan takut, mengkritik dan dikritik, bahkan memanjat bangunan surau untuk memasang alat siaraya. Peluang keemasan itu telah digunakan untuk mencetak kader-kader dakwah dan memperkasakan organisasi Dewan Pemuda. Dalam usaha perkaderan dakwah, beliau juga banyak dibantu oleh almarhum Ustaz Hasan Shukri, seorang tokoh muda yang ditarbiah secara langsung oleh Ikhwan Muslimin di Iraq.

Almarhum memilih menjadi pemastautin di United Kingdom, hampir tiga dekad bermukim di sana dan pernah menjadi wakil PAS di sana dalam pelbagai program. Generasi pelajar-pelajar Islam era 70an, 80an dan 90an hampir pasti pernah tersentuh pengalaman dengan almarhum. Sosok berjasa ini telah kembali kerahmatullah pada 17 Mei 2009, setelah diuji kesakitan termasuk kanser. Jenazahnya bersemadi dipinggir kota London dengan segunung bakti dimedan dakwah. Seperti yang diungkapkan oleh Dato' Dr Mahfuz Mohamad yang kini Pengerusi as Sabiqun PAS Pusat mengenai watak almarhum:

"Allahyarham Ustaz Jais Anuar lama berkawan masa senang dan susah di kota London, dia juga sepupu kepada arwah abang ipar saya. Dia begitu gigih membuat satay dan menjualnya di restoran-restoran Muslim untuk membiayai pengajian dan keluarganya. Alhamdulillah beliau terus istiqamah hingga ke akhir hayatnya." Al-Fatihah

(Penulis adalah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo