NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

MB Kedah tinjau sesi persekolahan di Langkawi


LANGKAWI: Seramai 31,374 pelajar di seluruh Kedah menyambung sesi persekolahan hari ini, selepas lebih tiga bulan ditutup berikutan penularan wabak COVID-19.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata mereka merangkumi pelajar Tingkatan Lima dan Enam serta Kolej Vokasional (KV) di 280 sekolah.

"Daripada jumlah itu, 26,118 adalah pelajar Tingkatan Lima dari 198 sekolah, diikuti 3,231 pelajar Tingkatan Enam mewakili 56 sekolah.

"Selebihnya 538 pelajar calon peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dari 16 sekolah dan 1,487 pelajar lagi mewakili lima KV," katanya pada sidang media selepas meninjau sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahsuri di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan, Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad; Pengarah Pendidikan negeri, Abd Aziz Selaiman dan Pegawai Pendidikan Daerah Langkawi, Azhari Abdul Rashid.

Terdahulu, ketibaan Muhammad Sanusi pada jam 7.30 pagi disambut Pengetua SMK Mahsuri, Sa'diah Abdul Samad dan guru kanan sekolah itu, sebelum meluangkan masa kira-kira sejam meninjau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan sesi Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) di bilik darjah.

Sementara itu, pelajar Tingkatan Enam, Anim Sofiya Illias, 19, teruja dapat beramah mesra bersama Menteri Besar yang masuk ke kelasnya hari ini.

"Menteri Besar ada bertanya mengenai universiti pilihan selepas lulus Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan saya memilih mahu ke Universiti Teknologi MARA (UiTM).

"Beliau turut beri kata semangat supaya belajar bersungguh-sungguh dan mengucapkan selamat maju jaya," katanya.

Nurhafikah Abdullah, 19, turut teruja disapa oleh Muhammad Sanusi, selain menerima kata-kata perangsang supaya tekun belajar.

"Semangat bertambah dengan kata-kata motivasi itu dan saya akan pastikan kejayaan dalam STPM kelak," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo