NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kematian Adib: Rakyat lega penjelasan Takiyuddin, kata PAS


PAS berkata rakyat Malaysia kini berasa "lega" dengan penjelasan dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan, mengenai status siasatan ke Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad mendakwa sepanjang tempoh 22 bulan Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, inkues terhadap punca kematian Muhammad Adib menjadi perhatian ramai kerana rakyat mengharapkan keputusan yang adil untuk anggota bomba berkenaan.

Katanya, PAS berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 Sept 2019 yang memutuskan punca kematian arwah adalah akibat perbuatan jenayah oleh individu yang tidak dikenali.

"PAS yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM), Peguam Negara dan Kerajaan PN akan mengambil tindakan seadilnya terhadap kes ini dengan mencari dan menghukum mereka yang terlibat sama ada ke atas pembunuh serta mereka yang berusaha menutup kes ini, jika ada," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Adib, 24, merupakan seorang Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan berkhidmat di Balai Bomba Subang Jaya.

Berasal dari dari Kedah, dia meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 17 Dis 2018 selepas 21 hari dirawat di situ kerana mengalami kecederaan semasa bertugas.

Terdahulu dia berdepan dengan rusuhan berkaitan pertikaian kuil Sri Maha Mariamman pada 26 Nov 2018. Semasa menjadi pembangkang PAS adalah antara pihak yang lantang mendesak agar kerajaan PH mengambil tindakan ke atas pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kematian Muhammad Adib.

Kita tunggulah, kata menteri

Pembangkang - pada ketika itu - juga mendesak agar Peguam Negara Tommy Thomas dipecat kerana gagal membawa pihak yang terbabit ke muka pengadilan.

PAS bersama penentang PH juga mendesak agar Muhammad Adib diberikan keadilan dengan menahan serta mendakwa pembunuhnya.

Pada 21 Jun lalu, Takiyuddin memberitahu tindakan pendakwaan hanya dapat diteruskan selepas pihak polis berjaya mengenal pasti dan menahan pembunuhnya.

Untuk rekod Takiyuddin merupakan setiausaha agung PAS yang dilantik menjadi menteri selepas Langkah Sheraton dan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional. Jawatan peguam negara pula kini disandang Idrus Harun.

"Oleh sebab itu pihak polis perlu dan sedang menjalankan siasatan untuk kenal pasti pelaku. Itu yang sudah dilaporkan kepada kabinet.

"Jadi kerajaan atau pihak Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan hasil daripada siasatan pihak polis, kita tunggulah," kata Takiyuddin.

Kamaruzaman berkata PAS menyambut baik kenyataan dibuat Takiyuddin itu kerana beliau menyatakan PDRM masih meneruskan siasatan terhadap kes berkenaan.

"Kenyataan ini melegakan rakyat Malaysia yang menantikan perkembangan terkini kes tersebut," katanya.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/531562

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo