Sultan Muhammad Jiwa II Kedah (1710-1778): Sultan Lagikan Ulama (Bhg 1)


oleh:  TunSuzana Tun Hj Othman

Paduka Sri Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin Mu'adzam Shah II ibni Sultan Abdullah Muad’zam Shah adalah Sultan Kedah Darul Aman yang ke-19. Baginda diputerakan di Istana Kota Bukit Pinang, seterusnya menjadi pemerintah dari tahun 1710 ke 1778, dikenali juga sebagai pengasas kota Alor Setar. Pemerintahan baginda adalah yang terpanjang dalam sejarah Kesultanan Melayu, selama 68 tahun. Pemerintahan baginda dikenang sebagai zaman emas bagi Kesultanan Kedah.

Baginda mempunyai akhlak yang baik dan menjadi kesayangan ayahandanya. Baginda terlalu bercinta dengan ilmu-ilmu agama, sehingga minatnya yang mendalam telah membawanya berkelana ke luar negeri. Tempat pertamanya adalah Palembang di Sumatera, berguru dengan ulama Yaman yang tersohor, Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani (atau al-Mahdali). Atas sifatnya yang sangat tawadhu’ serta cintanya terhadap ilmu, baginda bukan sahaja menyembunyikan status kebangsawanannya, malahan terus menawarkan diri menjadi ahli khidmat kepada Syeikh Abdul Jalil sehingga akhirnya Tengku Muhammad Jiwa dan gurunya ibarat belangkas, tiada berpisah diantara satu sama lain.



Belakangan putera raja ini telah menemani gurunya untuk berdakwah serta mengajar di Kepulauan Jawa, seterusnya ke India. Di sana, mereka ditakdirkan bertemu dengan orang tempatan yang bernama Hafiz Sab, beliau kemudian menjadi murid setia kepada Syeikh al-Mahdani. Pada waktu itu, Tengku Muhammad Jiwa, Syeikh al-Mahdani dan Hafiz Sab menjadi sahabat akrab yang sentiasa bersama.

Sementara baginda di India, Paduka Ayahandanya telah jatuh gering dan mangkat pada tahun 1706. Oleh kerana Tengku Muhammad Jiwa telah hilang entah kemana, maka pembesar Kedah telah menabalkan adindanya Tengku Ahmad Tajuddin menjadi Sultan Kedah ke-18. Bagaimanapun, Paduka Sultan itu tidak memerintah lama dan mangkat pada tahun 1710. Kekosongan takhta Kedah telah menimbulkan kegusaran para pembesar negeri, khususnya di pihak Bendahara, lalu diutuskan delegasi mencari keberadaan Tengku Muhammad Jiwa, dari Sumatera sehingga ke Burma dan India. Berlakulah peristiwa menyayat hati di atas sebuah kapal dagang Arab yang sedang singgah berlabuh di Mergui, Burma, yang dengan tidak sengaja telah menemukan utusan Kedah dengan Tengku Muhammad Jiwa. Kebetulan waktu itu baginda memang bercadang untuk kembali ke negeri Kedah bersama dua sahabat akrabnya kerana merindui keluarga dan kampung halaman. Tengku Muhammad Jiwa amat sedih mengenangkan kemangkatan dua ahli keluarganya, waktu itu barulah sahabatnya dimakumkan rahsia identiti baginda yang sebenar.

Sekembalinya Tengku Muhammad Jiwa ke Kedah, baginda terus ditabalkan sebagai Sultan dan melantik Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani sebagai Mufti merangkap penasihat peribadi baginda. Manakala Hafiz Sab dilantik sebagai Qadhi negeri dengan gelaran Dato’ Maharaja Qadhi.

Dizaman pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa, Kesultanan Kedah menempuh zaman penuh rahmat dan keberkatan, berkat mengambil nasihat-nasihat dari dua orang ulama yang akrab dengannya. Wilayah jajahan baginda meluas sehingga ke sempadan Siam dan Burma di Pulau Ujung Salang (Phuket hari ini) dan Moulmein di tenggara Burma. Kerajaan baginda juga berhasil melupuskan rompakan dan perlanunan di perairan Kedah. Baginda juga bijak bersiasah, melagakan Inggeris dengan Siam . Maka keamanan yang dikecapi inilah yang menerbitkan gelar Kedah Darul Aman. Tidak keterlaluan jika dinyatakan kejatuhan Patani, sebuah kerajaan bersaudara Kedah yang berlaku pada 1786, hanya berhasil dilaksanakan selepas Siam telah yakin dengan kemangkatan Sri Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin Mu'adzam Shah II.

Baginda juga bertanggungjawab membina bandar Kota (Alor) Setar bagi menggantikan Bukit Pinang sebagai pusat pentadbiran, dan mula bersemayam di sana pada tahun 1735. Kota Setar terus maju berkembang menjadi pusat perdagangan disamping pusat pertanian yang penting di Kedah. Banyak bangunan seperti Istana Balai Besar, Balai Nobat dan Masjid Negeri merupakan peninggalannya.

Semasa pemerintahan baginda, Kedah telah berkembang semakin pesat menyebabkan matawang emas tidak mencukupi untuk menampung keperluan rakyat. Dalam waktu yang sama, matawang perak dari Eropah sedang banyak digunakan di rantau ini. Oleh itu, baginda telah bermesyuarat untuk mengubah sistem matawang cara lama yang hanya bersandarkan pada emas. Mesyuarat telah memutuskan supaya perak juga dijadikan matawang utama untuk kegunaan dalam negeri Kedah. Dari sini, matawang perak mula ditempa, dinamakan DARHAM. Nilai Satu Darham perak pada masa itu telah ditetapkan sebagai sama dengan Satu Kupang emas. Ini adalah suatu perubahan besar yang tidak dilakukan oleh negeri-negeri lain di rantau ini.

Pada mata wang darham tersebut, terpahat kalimah 'Sultan Muhammad Jiwa Khalifatul Rahman', di belakang pula tertera ' Bi Balad Kedah Darul Aman, Sanat 1154 Hijrah'.

Sultan Muhammad Jiwa mangkat pada tahun 1778, dan dimakamkan di Perkuburan Di Raja Langgar. Gelar ‘Khalifah ar Rahman’ yang diberikan kepada baginda merujuk kasih sayang rakyat dan para pembesar Kesultanan Kedah. Pemergian baginda ditangisi oleh semua lapisan rakyat jelata.

al Fatihah kepada al-Marhum nenda Sultan Muhammad Jiwa

Sumber: https://www.facebook.com/tunsuzana.tunhjothman.1/posts/1517170588461777

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post