Moratorium serlah kelebihan sistem kewangan Islam


MORATORIUM adalah satu terma kewangan yang mula menjadi bual bicara masyarakat Malaysia sejak mula diperkenalkan sebagai sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi khusus bagi menghadapi pandemik COVID-19.

Dengan jumlah peruntukan kira-kira RM100 bilion, sudah pasti moratorium satu inisiatif perlu dimanfaatkan masyarakat terutama mereka yang mempunyai komitmen hutang tinggi dan pada masa sama, sumber pendapatan terjejas akibat COVID-19.

Secara umum, moratorium adalah satu bentuk kebenaran yang sah dari segi undang-undang kepada penghutang bagi menangguhkan pembayaran pembiayaan dalam satu tempoh ditetapkan. Penangguhan ini adalah kepada pinjaman individu dan perniagaan seperti pinjaman pembelian perumahan, kenderaan, modal kerja dan pinjaman peribadi.

Bagaimanapun, selepas sebulan pengenalan inisiatif ini, moratorium sekali lagi hangat diperkatakan apabila dimaklumkan mengenai caj faedah tambahan dikenakan ke atas pembayaran pembiayaan tertangguh yang dilakukan, terutama terhadap pembiayaan sewa beli dan pembiayaan dengan faedah berkadar tetap.

Caj tambahan ini bukan sahaja terpakai terhadap pembiayaan konvensional, bahkan turut dikenakan ke atas pembiayaan Islam.

Ia sedikit sebanyak merencatkan perancangan kewangan orang ramai terutama yang merancang bagi memohon inisiatif moratorium bagi mengurangkan bebanan kewangan terutama bagi menghadapi kelembapan ekonomi disebabkan COVID-19 .

Namun, kita perlu memahami apakah kemungkinan punca menyebabkan perubahan dengan pengenalan caj tambahan ini.

Dengan pengenalan moratorium, institusi kewangan terikat pelaporan kewangan, di mana mereka perlu mengemas kini nilai portfolio pembiayaan sedia ada dengan menggunakan aliran tunai terdiskaun.

Dengan nilai pembiayaan sedia ada, pertambahan tempoh pembayaran disebabkan tambahan enam bulan moratorium akan menyebabkan nilai semasa bersih portfolio pembiayaan akan berkurangan.

Pengurangan nilai semasa bersih ini menyebabkan institusi kewangan perlu melaporkannya sebagai peruntukan kerugian kredit yang dijangkakan di dalam penyata kewangan. Nilai kerugian inilah yang disebut bantuan berjumlah RM100 bilion daripada pelaksanaan moratorium.

Namun, dengan pengenalan caj faedah tambahan, perkara ini sedikit sebanyak mengurangkan jumlah kerugian yang perlu dilaporkan.

Maka, inilah antara sebab utama mengapa institusi kewangan dilihat cuba mengenakan caj tambahan terhadap jumlah pembayaran pembiayaan yang tertangguh disebabkan oleh moratorium.

Dalam pelaksanaan moratorium, bank komersial di Malaysia mempunyai kaedah pelaksanaan berbeza. Bagi pembiayaan konvensional, kadar faedah yang sepatutnya dikenakan sepanjang tempoh moratorium berkemungkinan akan digandakan pada masa akan datang.

Bagi pembiayaan Islam, kadar keuntungan yang sepatutnya dikenakan sepanjang tempoh moratorium tidak akan digandakan pada masa hadapan. Ini sejajar prinsip kewangan Islam di mana kaedah faedah digandakan diharamkan dalam Islam riba.

Pada permulaan pengenalan moratorium, institusi kewangan konvensional dan kewangan Islam menunjukkan komitmen kepada masyarakat bagi menghadapi kegawatan ekonomi disebabkan oleh COVID-19 dengan tidak mengenakan faedah digandakan ke atas faedah atau keuntungan sepanjang tempoh moratorium ini.

Namun, berdasarkan kenyataan dibuat Persatuan Bank di Malaysia baru-baru ini, faedah digandakan akan dikenakan ke atas pembiayaan konvensional terutama membabitkan pembiayaan sewa beli dan juga pembiayaan dengan faedah berkadar tetap.

Bagi pembiayaan Islam, masih tidak ada sebarang pengumuman terkini terhadap caj tambahan ini. Sekiranya institusi kewangan Islam mahu mengikut jejak langkah institusi kewangan konvensional, perubahan terhadap akad perlulah dilakukan supaya tidak menyebabkan ketidakpatuhan syariah.

Adalah diharapkan institusi kewangan Islam tidak mengenakan caj tambahan ini. Walaupun akad boleh diperbaharui bagi memastikan kepatuhan syariah, situasi ini sepatutnya dimanfaatkan institusi kewangan Islam bagi membuktikan bahawa prinsip Islam diguna pakai dengan tidak mengiktiraf kaedah faedah digandakan ini, sebagai salah satu kaedah yang menjamin keadilan dalam ekonomi.

Selain itu, perubahan pengenalan caj tambahan ini juga sedikit sebanyak akan menyebabkan institusi kewangan Islam dipersoalkan keabsahan dalam pelaksanaan patuh syariah. Ini seharusnya dielakkan kerana ia melibatkan risiko reputasi dan kepercayaan masyarakat umum.

Tidak dinafikan sebagai sebahagian institusi kewangan, tanggungjawab utama institusi kewangan Islam adalah untuk memaksimumkan keuntungan pendeposit dan pelabur. Bagaimanapun, melihat ekonomi semasa dan kepentingan maqasid shariah, penjagaan terhadap agama dan nyawa adalah lebih penting jika dibandingkan dengan penjagaan terhadap harta.

Sudah semestinya pengguna lebih menghargai dan memerlukan sekiranya mereka diberikan bantuan seperti ketiadaan caj tambahan terhadap moratorium pada saat sukar seperti sekarang, berbanding dijanjikan pulangan ke atas deposit seperti biasa.

Semoga keberanian diambil institusi kewangan Islam di dalam membuat keputusan yang terbaik kepada masyarakat umum akan menjadi asbab kepada kegemilangan kewangan Islam pada masa hadapan.

***Penulis ialah Felo Siswazah Universiti Sains Islam Malaysia.
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post